Malaysia Dateline

LKIM: Sekatan eksport ikan terpilih 1 Januari 2020

Muhammad Faiz mencuba kemahiran memasak pada Program Bazaar Peduli Rakyat di Kuching semalam.

Bermula 1 Januari tahun hadapan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia(LKIM)akan melaksanakan sekatan eksport spesis ikan terpilih bagi menampung bekalan ikan di pasaran.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, LKIM amat mengambil perhatian berkaitan bekalan ikan di pasaran tempatan khususnya pada musim tengkujuh dan perayaan .

Untuk itu, beliau berkata sekatan eksport itu akan dilaksanakan bermula 1 Januari hingga 28 Februari 2020 menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri dari 15 April hingga 15 Jun 2020 iaitu pada bulan Ramadan sehingga sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Antara spesies ikan segar dan sejuk beku yang dilarang dieksport ke luar negara dalam tempoh sekatan adalah kembung, selar, pelaling, bawal dan udang tangkapan.

“Spesis ikan ini adalah pilihan utama pembeli sekali gus kita bertindak mengawal daripada dieksport ke luar negara supaya bekalan ikan di pasaran tempatan adalah mencukupi,” katanya.

Muhammad Faiz berkata demikian ketika sidang media Program Bazaar Peduli Rakyat (BPR) di perkarangan letak kereta Pasar Raya Besar Giant Tabuan Jaya Kuching, semalam.

Beliau menambah, langkah sekatan itu juga dilakukan bagi mengimbangi keperluan bahan mentah berkenaan selain memastikan harga yang dijual kepada pengguna berpatutan.

Jelasnya lagi, ini kerana harga ikan terbabit adalah berkait rapat dengan faktor ekonomi atau konsep ekonomi penawaran (bekalan) dan permintaan.

“Ini bermakna, apabila bekalan ikan itu berkurangan maka harga akan naik begitu juga sebaliknya.

“Sehubungan itu, LKIM tidak ada mempunyai mekanisme tetap untuk menstabilkan harga ikan,” jelas beliau.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ahli Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang, Afzainizam Abdul Rahman, Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Mohamad Fidzuan Zaidi, Pengarah FAMA Sarawak, Datuk Dr Haji Mat Sani Hasan.