LKIM terus komited bantu nelayan diami rumah yang lebih selesa

LKIM terus komited bantu nelayan diami rumah yang lebih selesa
Faiz Fadzil menandatangani plate penyerahan rumah baru bina di Labuan.

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) terus komited membantu golongan nelayan dalam negara dengan bantuan baik pulih rumah di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN).

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, kerajaan telah membaik pulih 233 rumah nelayan dengan jumlah keseluruhan lebih RM3 Juta sejak tahun lalu, dengan keseluruhan lebih RM5 Juta diperuntukan bagi membina 82 buah rumah baharu.

Menurut beliau lagi, peruntukan maksimum setiap rumah yang dibaik pulih adalah sebanyak RM13,000 bagi semenanjung dan RM15,000 bagi Sabah, Sarawak, dan Labuan.

“Untuk bina rumah baharu pula, peruntukan maksimum untuk setiap rumah adalah berjumlah RM56,000 bagi kawasan Semenanjung dan RM68,000 bagi kawasan di sekitar Sabah dan Sarawak.

“Di bawah inisiatif PKPN ini juga, dilaksanakan projek penempatan semula nelayan (PSN) di beberapa buah negeri termasuk di Kedah, Kelantan, Perlis, Perak dan Pahang berdasarkan konsep sewa beli (rent to own).

“Program ini dikhususkan bagi nelayan yang tidak memiliki hakmilik tanah berdaftar dan akan diperluaskan ke negeri lain termasuk Sabah, Terengganu dan Pulau Pinang tertakluk kepada kelulusan tanah oleh pihak berkuasa negeri masing-masing,” katanya dalam sesi lawatan kerja di Sandakan selama dua hari.

Turut bersama beliau dalam lawatan tersebut, Pengarah LKIM Labuan, Pada Anak Bijo.

Sementara itu, Timbalan Pemuda AMANAH Nasional itu turut menegaskan, bahawa inisiatif PKPN adalah usaha kerajaan melalui LKIM untuk membantu golongan nelayan yang berkelayakan bagi memastikan mereka mempunyai kediaman yang baik dan selesa.

Adun Permatang Pasir itu turut memberi jaminan bahawa lebih banyak rumah nelayan akan dibaik pulih dan dibina baharu pada masa akan datang kepada nelayan yang benar-benar layak.

Dalam lawatan tersebut, Faiz turut menyempurnakan pemberian tiga buah rumah bina baharu yang telah siap dibina di Labuan yang diduduki beberapa penduduk yang dikenali sebagai Yusup Dahlan, Mohammad Gapar dan Munah Husin.

Untuk rekod, pada tahun ini sahaja, sebanyak enam buah rumah nelayan di Labuan telah dibaik pulih dengan peruntukan sebanyak RM90,000 dengan enam buah rumah bina baharu telah dan sedang dibina dengan peruntukan sebanyak RM408,000.

“Apa yang menarik kali ini adalah penyiapan rumah baharu penduduk, Mohamad Gapar yang hangus akibat terbakar pada awal tahun ini.

“Setinggi penghargaan kepada kakitangan LKIM yang terlibat menguruskan projek PKPN ini dengan baiknya,” katanya.