Malaysia Dateline

LKIM tingkatkan jualan tahunan Pasar Nelayan RM46.1juta

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil hari ini mengumumkan beberapa pencapaian yang membanggakan menerusi Kad Laporan LKIM 2019.

Muhammad Faiz mengumumkan, pada tahun lalu, pihaknya telah berjaya meningkatkan Nilai Jualan Tahunan Pasar Nelayan kepada RM46,149,093 berbanding sasaran awal mereka iaitu RM45,000,000.

“Kami juga telah berjaya meningkatkan Nilai Pengeluaran Projek Akuakultur iaitu sebanyak RM14,185,517 berbanding sasaran awal iaitu RM6,500,000.

“Untuk makluman, pada tahun lalu Nilai Jualan Ikan Segar Beku (QFISH) turut meningkat kepada RM3,967,854 mengatasi sasaran awal iaitu RM2,160,000.

“Nilai Kendalian di Pusat Pemprosesan Hasil Perikanan (PPHP) juga meningkat kepada RM22,000,000 berbanding sasaran kami iaitu RM20,000,000,” katanya.

Beliau mengumumkan pencapaian tersebut dalam ucapan Perasmian Majlis Amanat Tahun Baru 2020 dan Pelancaran Kad Laporan LKIM Tahun 2019, di Auditorium Pulau Meranti, Puchong.

Turut hadir, Ketua Pengarah LKIM, Datuk Jamaluddin Othman dan Timbalan Ketua Pengarah LKIM (Pembangunan) Untong Keri.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz yang juga Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional turut menerapkan tiga budaya kerja bagi kakitangannya iaitu Cekap, Amanah, Peduli sebagai petunjuk dalam melaksanakan tanggungjawab.

“Saya meletakkan tiga budaya kerja itu untuk dijadikan satu petunjuk dan juga daya semangat kepada kakitangan untuk bekerja dengan lebih baik iaitu membawa konsep cekap.

“Mereka perlu kreatif dan perlu lebih cepat melaksanakan tugas dan bekerja dengan lebih berkesan. Yang kedua adalah budaya Amanah, pastinya ia adalah elemen penting dalam urus tadbir pengurusan kerja.

“Budaya kerja ketiga adalah Peduli. Di bawah LKIM, kami mempunyai kumpulan sasar untuk dibantu iaitu golongan nelayan. Jadi budaya Peduli itu perlu ada dalam diri setiap kakitangan yang bertugas,” katanya ketika ditanya tentang Amanat Tahun Baru 2020 yang disasarkan kepada kakitangannya.

Menurut Muhammad Faiz lagi, elemen paling penting adalah kakitangannya memberikan sepenuhnya sokongan kepada dasar-dasar kerajaan pada hari ini.

“Ini kerana pegawai dan kakitangan kerajaan adalah tulang belakang kerajaan untuk menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat dan sudah pasti sokongan serta kerjasama yang baik daripada semua kakitangan LKIM amat penting,” ujarnya lagi.