Malaysia Dateline

Lockdown separuh masak Azmin

1. Inilah antara pandangan media massa asing terhadap Mohamed Azmin Ali, orang kanan Perdana Menteri Mahiaddin Md. Yasin.

2. Akhbar berbahasa Inggeris Hong Kong ini menggelarnya “arkitek rampasan kuasa” dan melabelkan penyeliaannya ke atas industri ketika “lockdown” sekarang sebagai “half-baked” (mentah).

3. Ia juga melaporkan yang 80,000 peserta telah menandatangani petisyen menggesa supaya dia meletakkan jawatan.

4. Semalam Azmin mengeluarkan kenyataan mengatakan bukan semua kelulusan operasi kilang adalah kerja dia. Katanya Kementerian seperti Pertanian dan Pengangkutan melaksanakan peraturan masing-masing.

5. Sehingga ini, Mahiaddin masih mendiamkan diri mengenai kutukan orang ramai terhadap apa yang disifatkan sebagai “total lockdown” yang bocor dan tiris seolah-olah tidak ada “lockdown”.

6. Kemungkinan Mahiaddin bertindak ke atas Azmin atau mana-mana Menteri yang melanggar pelaksanaan “lockdown” adalah tipis kerana dia terpaksa menjaga hati Menteri-menteri dari Umno dan Bersatu yang sedang berentapan antara satu sama lain dalam usaha mencari pengaruh politik.

7. Lagi pun Mahiaddin sudah melihat dengan mata kepalanya sendiri bagaimana Azmin memperalatkan Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim kemudian mengkhianati mereka untuk kelangsungan (survival) kerjaya politiknya.

8. Dengan tempoh darurat yang diisytiharkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tinggal tidak sampai dua bulan – dijadualkan berakhir 1 Ogos – dan tuntutan supaya penggantungan Parlimen ditarik balik dengan segera, kedudukan Mahiaddin kembali goyang.

9. Jadi dia terpaksa menjaga hati setiap orang Ahli Dewan Rakyat yang menyokongnya tahun lalu sehingga meyakinkan Yang di-Pertuan Agong untuk melantiknya menjadi Perdana Menteri.

10. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dilaksanakan pada 1 Jun, kita sudah lihat pergeseran sengit antara Azmin dan Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob mengenai kelulusan operasi kilang. Macam wabak Covid-19 yang masih belum berjaya dikawal melalui darurat, masalah politik Perikatan Nasional (PN) juga boleh merebak menjadi wabak.

Sekian. Terima kasih.