Malaysia Dateline

‘Lockdown’ tidak halang AMANAH Pulau Pinang santuni golongan memerlukan

Perintah Kawalan Pergerakan Sepenuhnya atau ‘Total Lockdown’ tidak menghalang AMANAH Pulau Pinang meneruskan agenda peduli rakyat yang telah sekian lama dilaksanakan demi menyantuni golongan yang memerlukan.

Sehubungan itu gerakan turun padang bagi menyampaikan bantuan dan sumbangan barang keperluan asas telah pun dilaksanakan bagi 7 kawasan Parlimen di daerah Seberang Perai.

Menurut ketuanya, Dr Roslan Ahmad yang turut sama turun padang menyatakan bahawa inisiatif yang diambil oleh AMANAH Pulau Pinang adalah bagi meringankan beban masyarakat yang telah terjejas pendapatan mereka ekoran tempoh perintah ‘Lock Down’ yang turut disambung selama dua minggu lagi.

“Penerima sumbangan bantuan ini adalah mereka yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan, bergaji harian, kerja kontrak serta mereka yang telah kehilangan pekerjaan ekoran perintah tersebut.

” Manakala kawasan yang telah dikenal pasti dan disantuni adalah Kampung Tok Sani, Desa Murni, Permatang Pasir, Tanah Liat, Pongsu Seribu, Penaga, Taman Mengkudu, Machang Bubok, Kampung Bukit Kecil dan Nibong Tebal.

” AMANAH Pulau Pinang mengharapkan agar dengan sumbangan dan bantuan yang disalurkan dapatlah sama-sama bersolidariti dengan rakyat miskin ketika perintah kawalan pergerakan sepenuhnya dilaksanakan dan AMANAH membuktikan bahawa ia adalah sebuah parti yang cakna memperjuangkan serta membela nasib rakyat yang memerlukan, ” ujar beliau lagi.