Malaysia Dateline

‘Lockdown’ yang gagal akhirnya rakyat derita

Kerajaan sepatutnya membuat penelitian dan kajian terperinci secara total sebelum melaksanakan ‘lock down’ sepenuhnya yang hanya pada nama, tapi tidak pada hakikatnya.

Malah kegagalan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh menyebabkan pandemik Covid-19 tidak mampu diatasi, sebaliknya menimbulkan kebimbangan dikalangan rakyat sehingga menjadikan rakyat sengsara dan hidup dalam penuh kesempitan yang teramat sangat.

Bekas Adun Sungai Dua yang mewakili Umno selama lebih 20 tahun, Datuk Jasmin Mohamed ketika ditemui juga menzahirkan kekesalan atas kegagalan kerajaan membuka Parlimen bagi memberi peluang kepada wakil rakyat untuk mencari resolusi bagi mengatasi pelbagai masalah yang masih membelenggu rakyat tatkala ini.

“Sepatutnya ‘total lock down’ ialah menutup semua sektor sepenuhnya tetapi dalam tempoh yang singkat dan bukannya ‘total lock down’ yang hanya pada nama tapi tidak sepenuhnya.

” Apabila sebahagian dari sebahagian sektor dibuka dan sebahagian lagi ditutup ia tidak akan mampu memberi kesan yang sepenuhnya kerana masih ada wujudnya kluster-kluster tertentu dan pembukaan sektor yang boleh menyebabkan wujudnya penularan pandemik Covid-19.

“Tutup sepenuhnya dalam tempoh yang singkat sepertimana yang dilaksanakan oleh beberapa negara luar, tetapi ia memberi kesan positif dan sepatutnya dijadikan contoh oleh negara ini cara yang dilaksanakan oleh negara-negara luar,” tegas beliau yang sudah tidak bersama Umno lagi.

Sejajar dengan itu ia menyarankan kepada Perdana Menteri supaya segera membuka Parlimen dan tidak perlu terlalu takut dengan menjadikan Covid-19 sebagai alasan.