Logo Muktamar Pemuda Pas undang sindiran

Oleh ARIF ATAN

Logo Muktamar Dewan Pemuda Pas mengundang sindiran kalangan warganet sejak semalam apabila ramai yang mengaitkannya dengan agensi nombor ramalan (NFL), Magnum 4D.

Rata-rata netizen dilihat membanjiri ruangan komentar dalam hantaran berkenaan logo itu dalam Facebook rasmi Dewan Pemuda PAS Malaysia – DPPM.

Ada yang menganggap logo tersebut mengingatkan mereka kepada sikap Pas berhubung tindakan kerajaan meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan menjadi 22 kali sepanjang tahun ini seperti disahkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

 

“Logo ni diinspirasi dari 22 cabutan ke? Tanya saja. Jangan marah,” perli Huzai Yop manakala Jabbar Majid pula berkata, “Saya hampir keliru 4D dan 44 bila tengok poster ni.”

Bagaimanapun, ada warganet menjelaskan bahawa karakter yang kelihatan seperti ’44’ itu sebenarnya nombor Arab ٦٢ yang merujuk kepada kali ke-62 muktamar sayap pemuda Pas dianjurkan.

“Ingatkan 44 tadi. ٦٢ rupanya. Kreatif! Tahniah! Kalau boleh tahu, siapa pencipta logo ni?” tanya Firdaus Sahiddin.

Dalam hantaran sama, terdapat juga keterangan mengenai logo tersebut termasuk tulisan jawi bagi angka 62 dan simbol tanduk rusa yang merupakan haiwan simbolik Negeri Sembilan.

Muktamar Dewan Pemuda Pas kali ke-62 bakal berlangsung di Corus Paradise Resort, Negeri Sembilan pada 30 dan 31 Oktober ini.