Logo PKR: DAP akan beri penerangan

Logo PKR: DAP akan beri penerangan

DAP Perak akan mengadakan siri penerangan mengenai penggunaan logo PKR oleh Harapan pada PRU14 di beberapa kawasan di negeri ini.

Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, simbol roket dalam logo DAP sudah sebati dalam pemikiran rakyat sejak 52 tahun lalu pada setiap kali pilihan raya.

Menurutnya, DAP terpaksa berkorban dengan menggunakan logo PKR pada PRU14 ini bagi memastikan Harapan menang.

“Bukan mudah untuk kita menerima keadaan ini.Tetapi setiap perjuangan perlu ada pengorbanan dan ini pengorbanan kita.

“Ini merupakan satu kejayaan buat rakyat kerana keputusan ini dibuat untuk rakyat.

“Kita harap rakyat dapat membuat pilihan yang lebih tepat pada PRU14 ini,” katanya semalam, mengulas penggunaan logo PKR bagi semua parti yang bertanding di bawah Harapan.

Kor Ming berkata, penggunaan satu logo itu sangat baik dalam usaha mewujudkan sistem dua parti pada pilihan raya.

Pada PRU13 lalu, DAP menang 18 kerusi Dun yang dipertandingkan di Perak menggunakan logo sendiri manakala PKR hanya menang lima daripada 19 kerusi yang ditandingi.