Malaysia Dateline

Lokasi Bazar Ramadan baharu di Jalan Raja

Lokasi Bazar Ramadhan di lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR), Jalan Masjid India dan kawasan sekitarnya akan ditempatkan di Jalan Raja berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad.

Perkara itu diumumkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dato’ Nor Hisham A. Dahlan dalam satu kenyataan hari ini yang memaklumkan lokasi bazar akan bermula dari lampu isyarat persimpangan Jalan Gereja hingga ke persimpangan Leboh Pasar Besar.

Katanya lokasi itu melibatkan jalan sepanjang 0.2km dan selebar 12m.

“Sepanjang operasi, kenderaan awam masih boleh melalui Jalan Raja. Tiada penutupan sepenuhnya jalan tersebut dalam tempoh Bazar Ramadhan beroperasi.

“sepanjang operasi, anggota penguatkuasa dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditempatkan di beberapa lokasi bagi mengawal keselamatan.

“Kemudahan seperti tandas bergerak juga akan ditempatkan berhampiran bagi keselesaan dan kemudahan awam,” katanya.

Tambah kenyataan itu, DBKL akan mula melaksanakan penutupan jalan TAR secara percubaan mulai hari Sabtu dan Ahad bersamaan 6 & 7 April depan.

Katanya penutupan akan diteruskan pada setiap hujung minggu bulan April termasuk cuti umum.

Beliau juga berkata penutupan jalan ini adalah bersesuaian dengan inisiatif projek River Of Life (ROL) dimana kawasan ini akan dijadikan sebagai kawasan mesra pejalan kaki disamping merealisasikan Kuala Lumpur sebagai bandar rendah karbon.