Pemuda AMANAH Negeri Sembilan menyeru agar kerajaan melakukan desakan kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa untuk mengubah lokasi Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 ke negara lain ekoran penindasan ke atas umat Islam etnik Uighur di Kem Tahanan Xinjiang.
Timbalan Ketuanya, Muhammad Allif Ibrahim berkata, tidak wajar sama sekali serta menafikan semangat kesukanan jika peluang penganjuran sukan itu diberi kepada rejim zalim China.
Beliau juga menggesa supaya seluruh badan hak asasi manusia, NGO dan pencinta kedamaian supaya turut sama bersolidariti dan menyatakan bantahan ke atas penindasan etnik Uighur.
Menurutnya, penahanan kira-kira sejuta umat Islam etnik Uighur di dalam sebuah kem tahanan merupakan isu hak asasi manusia yang merentasi perspektif kaum dan bangsa.
“Kerajaan China perlu dengan segera membebaskan etnik Uighur yang berada dalam tahanan Kem Xinjiang,” tegasnya dalam satu kenyataan.
Muhammad Allif turut membidas kenyataan China bahawa kem tahanan tersebut hanya sebagai pusat pendidikan dengan menafikan tindakan kejam itu adalah salah.
“Ini merupakan pendirian hipokrit dan jijik kerajaan China yang tidak boleh diterima akal.
“Pemuda AMANAH Negeri Sembilan juga menegaskan seruan kedamaian ini adalah merentasi perbezaan parti politik, agama dan kaum.
“Diharapkan, seluruh umat Islam di dunia dan Malaysia khususnya, supaya terus mendoakan agar saudara kita segera dibebaskan daripada cengkaman rejim Republik China ini,” tambahnya lagi.