Malaysia Dateline

Loke ulangi saranan gencatan politik, fokus rancakkan semula ekonomi

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke mengulangi semula saranannya seawal Ogos lalu berkenaan perlunya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengadakan rundingan dengan semua parti politik di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata, gencatan politik perlu diadakan dengan tiada pilihanraya umum sehingga tamat tempoh Parlimen ke-14, fokus seluruh tenaga untuk memerangi wabak Covid-19 dan merancakkan semula ekonomi.

“Sebenarnya saya telah pun mengemukakan pandangan berkenaan ‘gencatan politik’ seawal bulan Ogos yang lalu, sebelum pun Pilihanraya Negeri Sabah diadakan.

“Saya berpandangan semua parti perlu berlapang dada dan bersedia untuk duduk di meja rundingan untuk menyelesaikan kemelut politik ketika ini,” katanya.

Reaksi Loke itu susulan pengumuman Presiden Umno semalam berkenaan ‘gencatan politik’ yang seterusnya disambut oleh Ketua Pemuda Umno kerana menolak kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP.

“Yang peliknya, Presiden Umno yang partinya berada dalam kerajaan Perikatan Nasional mengumumkan ‘gencatan politik’.

“Secara tidak langsung, beliau mengakui bahawa memang ada rancangan untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional.

“Cuma sekarang kerana kes Covid-19 yang semakin meningkat, mereka berdamai sementara,” ujarnya.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa ini hanya terdiri daripada 113 Ahli Parlimen termasuk 39 Ahli Parlimen Umno manakala 109 Ahli Parlimen berada dalam blok pembangkang.

“Tidak ada seorang pun pemimpin DAP yang pernah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Umno untuk membentuk kerajaan baru.

“Pendirian DAP menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya beliau mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat adalah satu pendirian yang konsisten dan selari dengan kerangka perjanjian yang dicapai dalam PH selama ini.

“Jangan lupa bahawa perjanjian ini telah pun dimeterai oleh semua parti dalam PH termasuk PPBM sebelum Pilihanraya Umum ke-14,” kata Loke lagi.