Malaysia Dateline

Lokman Adam calon BN di Sungai Kandis

Umno telah memilih Datuk Lokman Noor Adam sebagai calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.

Lokman, bekas ahli PKR, akan menentang muka baharu Mohd Zawawi Ahmad Mughni antara BN dan PKR.

“Selepas banyak pertimbangan, kami meletakkan kepercayaan kepada orang muda,” kata Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Muhammad Hasan ketika mengumumkan pencalonan Lokman.

“Ini akan menjadi ‘test kit’ untuk menguji sejauh mana sokongan rakyat kepada Barisan Nasional berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 lalu,” kata bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

Pengumuman calon BN untuk PRK Sungai Kandis diadakan di Pejabat Umno  Bahagian Kota Raja di Kota Kamuning hari ini.

Blok pembangkang Pas memberi laluan kepada Umno meletakkan calonnya pada PRK Sungai Kandis yang akan menyaksikan pertandingan dua penjuru.

Pada PRU14 menyaksikan pertandingan empat penjuru di Sungai Kandis antara PKR, Umno, Pas dan Parti Rakyat Malaysia, dengan PKR menang majoriti 23,998 undi.

Umno menduduki tempat kedua dengan 11,518 undi, manakala Pas dengan 7,573 undi.

Esok dijadualkan penamaan calon bagi kerusi Dun Sungai Kandis akan diadakan di dewan Majlis Bandaraya Shah Alam dan hari pengundian diadakan pada 4 Ogos depan.

PRK Sungai Kandis diadakan susulan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50,  akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.