Malaysia Dateline

Lokman Adam dakwa tempat duduk Najib dialih saat akhir pada hari Pertabalan Agong

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam mendedahkan sebab ketidakhadira bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak ketika Majlis Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong hari ini, mendakwa  tempat duduk Ahli Parlimen Pekan itu  telah diubah saat akhir.

Beliau berkata, sumber memberitahu terdapat sedikit kekecohan apabila anggota keluarga diraja mendapati tempat duduk Najib Razak telah diubah ke bahagian belakang.

Katanya, keputusan tersebut telah menimbulkan rasa tidak senang dari Pihak Istana kerana terdapat campur tangan politik dan menegaskan susunan kerusi itu hendaklah dibuat selaras dengan protokol yang diwartakan kerajaan.

“Tempat duduk disusun semula dan ia tidak disentuh sehingga pukul 7 pagi sebelum pegawai PMO (Pejabat Perdana Menteri) masuk dan mengarahkan untuk memindahkan ke barisan Orang Besar Pahang, sebagai Dato Shahbandar dari Pahang.

“Perubahan susunan kerusi hanya dimaklumkan kepada pihak DSNR pada saat-saat akhir awal pagi tadi.

“Masa terlalu singkat untuk DSNR menyediakan pakaian rasmi Orang Besar Pahang kerana pakaian dan orang yang biasa membantu beliau bersiap dalam pakaian rasmi tersebut didatangkan khas dari Pekan, walhal DSNR perlu tiba di Istana tepat pada 8.30 pagi.

“Orang biasa mungkin tidak menghargainya, tetapi di Istana, DSNR amat  menghormati dan mematuhi protokol kod pakaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mendedahkan, dendan mendakwa pegawai PMO mengancam bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan menghadiri Istiadat Pertabalan jika kerusi itu diletakkan sebaris dengannya.

Malah katanya yang memetik dari sumber, Istana enggan berkompromi dengan perubahan saat akhir itu yang tidak menghormati keputusan Istana.