Malaysia Dateline

Lokman Adam ditahan

Datuk Lokman Noor Adam yang sebelum ini telah dibuang daripada menjadi ahli Umno ditahan pihak polis sebentar tadi.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno tersebut memberitahu hal itu dalam hantaran di Facebook rasminya malam ini.

Orang kanan Datuk Seri Najib Razak berkenaan kini ditahan di Kompleks Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman.

“Mohon hantar peguam ke JSJT Bukit Aman, jumpa IO Insp Nasir 013-7736 813. Saya ditahan di bawah Seksyen 506,” katanya.

Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Lokman sebelum ini dilihat lantang menyerang Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Kelmarin, dia menerusi Facebook Live hampir 15 minit mendakwa Muhyiddin dan penyokong pelaksanaan darurat masih tidak berpuas hati dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan darurat.

Mencabar

Pada 28 Oktober lalu pula, Lokman beberapa kali mencabar Muhyiddin supaya menangkap Anwar Ibrahim dan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Belajarlah bertaubat, menjalani hubungan silaturahim yang kau (Muhyiddin) dah pecahkan dengan orang Umno ini.

“Bukan dengan cara mengugut macam ini. Kena ingat Muhyiddin, kau ingat kau tangkap Anwar Ibrahim, Zahid Hamidi, Najib, kau ingat kita orang lepas ini akan duduk diam ke?

“Cuba buat, cuba buat, kalau kau nak tengok apa berlaku. Negara ini ada undang-undang. Jangan jadikan negara ini mengamalkan undang-undang rimba.

“Saya tahu malam tadi geng-geng Publika Azmin Ali pun ada semalam (27 Oktober) bersama Hamzah. Sudah bercadang hendak menangkap Anwar Ibrahim dan selepas itu Datuk Zahid (Hamidi).

“Cuba buat. Saya cabar. Kita tengok apa berlaku,” tegas Lokman sebelum mengakhiri Facebook Live.

Terbaharu sejam lalu, Lokman juga menerusi Facebook Live mendakwa setiap Ahli Parlimen bakal disogok peruntukan berjumlah RM3 juta jika Belanjawan 2021 diluluskan.

“Biar betul?” soalnya.