Malaysia Dateline

Lokman Adam redha dipecat dari Umno

Datuk Lokman Noor Adam telah dipecat sebagai ahli Umno berkuatkuasa serta merta susulan tindakan beliau yang menyerang presiden parti secara terbuka dan mendedahkan rahsia-rahsia parti kepada umum.

Umno yang mengadakan mesyuarat petang tadi telah mengecam tindakan beliau mendedahkan rahsia Mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional.

Lokman Adam dalam kenyataannya mendakwa beliau dipecat daripada menjadi ahli Umno melalui proses mengundi angkat tangan yang tidak sepatutnya mengambil kira undian pengerusi-pengerusi perhubungan yang bukan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Saya redha dengan tindakan Zahid ini namun saya tetap setia pada Umno. Saya akan meneruskan perjuangan saya menentang Pakatan Harapan dan talibarut musuh di dalam Umno melalui sebuah Ngo Laskar Siber Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun beliau akan memohon semula menjadi ahli Umno sekembalinya Datuk Seri Najib menjadi Presiden Umno.

“Apa yang penting rancangan Zahid untuk memaksa 3.7 juta ahli Umno untuk mengangkat Mahatahir menjadi pengerusi Pakatan Nasional gagal,” katanya.

Sementara itu, Datuk Dr Puad Zarkashi mempertikaikan pemecatan Lokman kerana syor daripada Biro Politik Umno bukannya atas syor Lembaga Disiplin parti itu.

“Apa fungsi Lembaga Disiplin? Kenapa Hishamuddin Hussien On tidak dikenakan tindakan sama?

Tidakkah perbuatan beliau mengadakan pertemuan beberapa kali dengan Tun M tanpa memaklumkan MKT dan Presiden Umno adalah melanggar disiplin parti?” soalnya.

Bahkan beliau sifatkan Hishamuddin Hussien On juga tidak menghormati institusi presiden.

Puad berkata, beliau mempersoalkan perkara itu bukan mahu mempertahankan Lokman tetapi sesuatu tindakan mestilah berlaku dengan adil dan jangan selektif.

Namun, Puad turut menjelaskan bahawa beliau telah menyuarakan pendiriannya terhadap keputusan memecat Lokman Adam di dalam Majlis Kerja Tertinggi, tetapi gagal.

Semalam, Lokman dalam hantaran video di Facebook mendakwa Ahmad Zahid ‘mengaku ada perancangan Umno untuk bekerjasama dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membentuk satu pakatan baharu’ ketika Mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional Umno.

Tindakan Lokman itu mendapat kecaman dan teguran daripada kepemimpinan Umno kerana dianggap mendahului keputusan parti dan menghina Presiden.