Malaysia Dateline

Lokman beri tempoh 7 hari kepada AG jawab status laporan polis video semburit

Jabatan Peguam Negara diberi tempoh tujuh hari untuk menjawab status laporan polis yang dibuat Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam pada 11 Jun lalu.

Tempoh seminggu itu diberikan oleh Lokman sendiri yang mahu melihat keadilan ditegakkan khususnya dalam kes video semburit mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya beri tempoh seminggu kepada pihak peguam negara untuk mereka menjawab status laporan polis yang telah saya buat.

“Jika mereka (pihak peguam negara) tidak menjawab, maka peguam saya akan ambil tindakan undang-undang terhadap Tommy Thomas.

“Kita sudah menghantar surat kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah dan mereka sudah menjawab. Polis memberitahu menunggu siasatan daripada badan forensik dan setelah mendapat jawapan pihak forensik, polis juga telah mengemukakan kertas siasatannya kepada jabatan peguam negara.

“Maknanya tugas dan tanggungjawab pihak polis telah diselesaikan. Cuma saya minta pihak polis menjaga integriti dan maruah pasukan.

“Mereka harus mendedahkan dan menunaikan janji yang telah dibuat oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed untuk mendedahkan identiti pelaku video semburit yang mirip Azmin dan juga Haziq itu,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan ibu pejabat Jabatan Peguam Negara, di Putrajaya hari ini.

Lokman berada di Putrajaya hari ini bertujuan menyerahkan surat kepada Tan Sri Tommy Thomas berhubung status laporan polis yang telah dibuat oleh beliau.

Dalam pada itu, Lokman mendakwa Tommy Thomas telah melakukan kesalahan dengan tidak menjalankan tugasnya kerana tunduk dengan arahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya nak beritahu, Tun Mahathir telah mengarahkan supaya kes Azmin Ali ini tidak ada sebarang tindakan susulan atau ‘no further action’ (NFA).

“Sepatutnya dalam sistem perundangan negara, Perdana Menteri tidak boleh campur tangan,” katanya.

Pada 11 Jun lalu, Lokman membuat laporan untuk menggesa polis menyiasat kesahihan klip video seks sejenis itu, penyebar video dan pelakunya.