Lokman Noor Adam ditahan polis

Lokman Noor Adam ditahan polis

Presiden  Pemantau Malaysia Baharu (Pemantau), Datuk Lokman Noor Adam ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, semalam.

Setiausaha Pemantau, Lisa Yahaya menerusi satu kenyataan berkata, ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu ditahan selepas hadir ke Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, pada 2 petang untuk memberi keterangan berhubung satu video mendakwa kerajaan Pakatan Harapan cuba melindungi pembunuh anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24.

Katanya, selepas selesai memberi keterangan pihak polis memaklumkan Lokman perlu ditahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

“Beliau akur dengan penahanan itu dan berjanji akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

“Susulan itu, beliau dibawa ke beberapa tempat dan beberapa individu turut disoal oleh polis bagi tujuan melengkapkan kertas siasatan.

“Pada 10 malam, beliau dibawa ke IPD Dang Wangi untuk direman dan berkemungkinan akan dibebaskan pada 9 pagi hari ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berasa amat kesal dengan penahanan terbabit dan menganggap tiada keperluan untuk Lokman bermalam di lokap IPD Dang Wangi kerana beliau sudah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis.

Katanya, pihaknya akan hadir di hadapan IPD Dang Wangi pada 8 pagi bagi memberi sokongan terhadap Lokman.

Loading...

“Bagi yang tidak berkesempatan hadir mohon doakan agar beliau dibebaskan esok (hari ini) dan kembali ke pangkuan keluarga dengan segera,” katanya.