Lombok digegar dua gempa bumi

Lombok digegar dua gempa bumi

Pulau Lombok, Indonesia, petang ini digegarkan dua gempa bumi berukuran melebihi 5 pada skala Richter.

Gempa pertama berukuran 5.8 pada skala Richter berlaku pada pukul 2.07 petang waktu Indonesia Barat, berpusat di 24 kilometer timur laut Timur Lombok-Nusa Tenggara Barat.

Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia, ini disusuli dengan satu lagi gempa berukuran 5.2 pada skala Richter, berpusat di 7 kilometer barat laut Lombok Timur- Nusa Tenggara Barat, pukul 2.09 petang.

Gegaran gempa itu dirasakan di Lombok Utara, Lombok Tengah, Lombok Barat dan sehingga ke Denpasar, Pulau Bali.

Tiada ancaman tsunami dilaporkan dan setakat ini belum terdapat laporan kesan atau impak gempa itu kepada penduduk serta kawasan setempat.

Pada 5 Ogos tahun lalu, gempa bermagnitud pada 7 Skala Richter berlaku pukul 6.46 petang di Lombok Utara menggegarkan seluruh pulau Lombok, malah turut dirasai gegarannya di Pulau Sumbawa, Pulau Bali dan Jawa Timur.

Sebelum itu, gempa bumi bermagnitud 6.4 Skala Richter yang melanda Lombok mengorbankan 17 orang termasuk seorang rakyat Malaysia, Siti Nur Ismawida Ismail.