Lombong terbiar undang musibah

Lombong terbiar undang musibah

“Kebiasaan ia menjadi tempat mainan kanak-kanak tanpa ada sebarang faktor keselamatan terhadap mereka,” begitulah luahan penduduk kampung yang dikenali sebagai Farid, 45, menceritakan tentang lombong terbiar di Kampung Parit Kangkar, Ayer Hitam, Johor.

Menurut beliau lagi, lombong itu telah lama terbiar dan hampir tiga tahun tanpa ada sebarang akiviti perlombongan lagi di situ.

Ia juga turut menjadi kekhuatiran bagi penduduk kampung yang berdekatan kerana keadaan lombong berkenaan yang tidak mempunyai pagar serta sebarang tahap keselamatan itu mampu mengundang musibah pada masa yang akan datang.

“Memang kita masih belum dengar apa-apa cerita yang terjadi di lombong berkenaan tapi adakah kita nak tunggu sampai terjadi sesuatu baru ada tindakan terhadap lombong tersebut.

“Selain keselamatan, lombong tersebut sekiranya berlaku hujan airnya akan melimpah memasuki rumah yang berdekatan lombong itu.

“Ini menyebabkan penduduk berdekatan mengalami kerugian yang teruk sehingga ada tanah di kawasan rumah sekitar lombong itu dan mula terhakis,” ujarnya ketika dihubungi.

Dalam pada masa yang sama, menurut Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim, lombong tersebut adalah bekas dari lombong logam yang dibiarkan oleh pemaju sebelum ini.

Menurutnya lagi, selain mengundang musibah keselamatan mendatang seharusnya pemaju sebelum ini bertanggungjawab dengan menutup lombong berkenaan bukan dengan membiarkan lombong itu dalam keadaan yang sedia ada sekarang.

“Lombong itu memang terdedah dengan risiko apatah lagi ia dikesan berdekatan dengan kawasan sekolah dan ini mengundang pelbagai masalah sekiranya kanak-kanak mula bermain di situ.

Khairudddin (kiri) bersama Adun Yong Peng, Chew Peck Choo dalam lawatan bersama ke tapak lombong.

“Dalam tinjauan yang kami lakukan, tiada ruang air keluar dan sepatutnya pihak pengusaha sebelum ini harus memikirkan soal limpahan air dari lombong berkenaan.

“Saya mencadangkan agar pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta pihak berwajib yang lain mengambil langkah segera dalam menutup lombong ni serta menimbus semula lombong berkenaan untuk keselamatan serta keselesaan penduduk,” katanya sewaktu ditemui di tapak lombong berkenaan.

Isu lombong ini telah mendapat maklum dari Adun Yong Peng, Chew Peck Choo yang turut hadir bersama dalam lawatan ke tapak lombong berkenaan dan beliau berjanji akan membawa isu ini kepada pihak yang tertinggi.