Malaysia Dateline

Lompat parti: AMANAH dan PKR perlu dahulukan setiakawan

Kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) perlu membuat satu ketetapan bersama untuk menangani isu wakil rakyat yang bertindak melompat ke parti rakan.

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin menegaskan, AMANAH dan PKR perlu mendahulukan setia kawan sebagai perkara yang paling utama kerana ia boleh menggugat kerjasama dan kepercayaan antara dua parti komponen itu.

Menurutnya, jika semua pihak memikirkan kepentingan parti lain dalam gabungan PH, isu lompat parti boleh diselesaikan dengan mudah.

“Di peringkat kepimpinan tertinggi, apabila PKR dengan mudahnya menerima adun yang akan mengurangkan komposisi adun parti kita, pastinya ia akan ada masalah apabila kita nak bermesyuarat bersama nanti. Kita tak akan jadi macam dulu.

“Isu setiakawan mengikat PH selama ini. Saya fikir kita perlu melihat kepada penyelesaian komprehensif yang melibatkan semua pihak.

“Di peringkat AMANAH, kita memahami dinamik yang pernah berlaku dalam PKR. Tapi kita tak pernah menangguk di air keruh. Kita tak menerima wakil rakyat dari parti rakan untuk masuk dalam parti kita. Di peringkat Majlis Presiden perlu secara serius menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu siaran langsung di Facebook Sumber kini, hari ini.

Terdahulu, tiga Adun AMANAH Johor dilaporkan bertindak keluar parti dan berhasrat untuk menyertai PKR.

Mereka masing-masing ialah Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim; Adun Serom, Faizul Amri Adnan serta Adun Mahkota, Muhamad Said Jonit.

Sementara itu Shazni berkata, AMANAH tidak menganggap apa yang berlaku membabitkan tindakan lompat yang dilakukan adun mereka sebagai satu pembersihan dalam parti.

“Dari sudut isu pembersihan parti, di peringkat AMANAH tak ambil sikap begitu. Kita tak rasa apabila kita berada di dalam, kita lebih bersih dari orang lain sebab kita tidak menghujahkan kita ini lebih baik dari orang lain,” katanya lagi.

Pada masa sama, Shazni juga menafikan AMANAH memberi reaksi berlebihan dalam mengulas tindakan lompat tiga adun berkenaan.

“Dari dulu sampai sekarang jarang sangat AMANAH nak bersuara pada perkara yang boleh menjarakkan hubungan. Baru-baru ini sahaja, itu pun berkadaran kemarahannya kerana berlaku satu perkara yang tak dijangka,” Jelasnya.