Malaysia Dateline

Lompat parti, Anwar redakan kegusaran

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi jaminan kepada sekutu Pakatan Harapan (PH) dan rakyat, kemasukan bekas anggota Parlimen Umno BN ke dalam Parti Bersatu tidak akan mengugat agenda pembaharuan yang telah disepakati.

Bagaimanapun, Anwar berkata, Bersatu mempunyai hak untuk menerima ahli yang keluar daripada bekas parti pemerintah selagi tidak melanggar peraturan dan bertentangan dengan persetujuan pembaharuan sebelum ini.

Menurut Anwar, Presiden Bersatu yang juga Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga telah memberikan jaminan semasa di mesyuarat PH bahawa beliau tidak melanggar dasar dan agenda seperti yang dijanjikan dengan rakyat.

Anwar berada di Kanada bagi menyampaikan ceramah di Universiti Toronto.

“Apa boleh saya katakan?…agenda pembaharuan tidak akan dirampas (walaupun menerima mereka yang berpaling tadah). Kita berhutang dengan rakyat yang menyokong,” katanya.

Mengikut persetujuan Dr Mahathir akan berkhidmat selama dua tahun sebagai Perdana Menteri dan akan menyerahkan kuasa kepada Anwar selepas dua tahun.

Mengulas mengenai isu pemilihan parti PKR lewat tahun lalu, Anwar mempertahankan pelantikan Rafizi Ramli sebagai naib presiden, meskipun beliau tewas dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi merebut jawatan Timbalan Presiden.

Menurut Anwar, Rafizi telah memberikan sumbangan yang besar pada pilihan raya umum lalu.

“Tiada siapa yang boleh menafikan peranan Rafizi dan Azmin. Saya tidak melantik Rafizi sebagai timbalan presiden tetapi naib presiden, kenapa (orang) mengutuknya adakah kerana kalah dia perlu diketepikan sepenuhnya? Sebagai parti demokratik kita tidak sepatutnya bertindak sedemikian,” kata Anwar.