Malaysia Dateline

‘Lompat parti dengan niat tidak ikhlas bersama Pas akan patah kakinya’

Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan agar tidak menghukum Pas apabila ada yang lompat parti.

Dalam masa sama, Presiden Pas itu menyelar mereka yang lompat parti dengan niat tidak ikhlas.

“Maka, janganlah menghukum Pas apabila ada golongan yang melompat keluar meninggalkan Pas atau menyertai Pas, sehingga terdapat mereka yang beberapa kali melompat keluar dan masuk Pas semula.

“Hukumlah diri sendiri, Pas hanya mengambil manfaat daripada politik lompat melompat.

“Hanya mereka yang melompat dengan niat yang tidak ikhlas bersama Pas sahaja akan patah kakinya. Namun, ahli Pas yang setia tetap tidak akan patah semangat,” katanya dalam artikel panjang Minda Presiden Pas hari ini.

Bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu juga menganggap kerjasama Pas-Umno sebelum ini demi perpaduan ummah dan kini sekali lagi, jelasnya, bersama Umno, Bersatu dan parti-parti lain.

“Sebelum itu juga, Pas pernah bersama Umno dalam kerajaan campuran dan bersama menubuhkan Barisan Nasional (BN).

“Walaupun Pas dipecat kerana krisis yang berlaku sehingga menjatuhkan kerajaan Pas Negeri Kelantan, apabila terdapat golongan yang melompat keluar lalu menubuhkan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), namun Pas semakin kuat.

“Adapun Berjasa terumbang-ambing dalam gelombang politik negara, sedangkan Pas bangkit semula menawan Kelantan dan memerintah negerinya sehingga kini,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu menyifatkan Pas yang mempunyai “sedikit pengalaman” dalam berpolitik terus beristiqamah berlandaskan prinsip yang tidak boleh diubah.

“Namun begitu, politik akan tetap berubah bersama alam yang turut berubah. Perubahannya wajib ditangani dengan berpandukan hidayah (petunjuk Allah SWT), bukannya jibayah (kebendaan),” tambahnya lagi.

Sebelum ini, Pas dihujani kecaman orang ramai apabila Abdul Hadi menyambut baik saranan Perdana Menteri bahawa Perikatan Nasional (PN) adalah suatu “tawaran baharu” kepada rakyat Malaysia.

Pas juga dianggap bermain ‘dua kolam’ apabila berada dalam dua gabungan parti politik seperti cuba mengambil peluang dalam proses rundingan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU15.

Bahkan, Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah telah melabelkan Pas sebagai ‘pelacur politik’ kerana bergabung bersama Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).