Malaysia Dateline

Lompat parti: Pemuda AMANAH ingatkan PKR tidak hipokrit, berlidah bercabang

Pemuda AMANAH Nasional mengingatkan PKR agar tidak hipokrit dan berlidah bercabang hingga menerima wakil rakyat yang lompat parti.

Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, Pakatan Harapan (PH) secara umumnya boleh bersetuju bahawa tindakan lompat parti dalam kalangan wakil rakyat adalah pelacuran terhadap sistem demokrasi negara.

“Membeli dan menjual wakil rakyat merupakan budaya bobrok yang hina lagi keji.

“Bahkan, persundalan ini jugalah yang menyebabkan kerajaan PH runtuh dan merencatkan proses reformasi urustadbir yang sedang berjalan ketika itu,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Beliau berkata, Setiausaha Agung PKR dalam kenyataan semalam dengan jelas menyebut bahawa parti itu menolak tindakan lompat parti yang bertujuan ingin melemahkan mana-mana parti dalam blok pembangkang.

“Namun ironinya, pada tarikh berkenaan juga dilaporkan media bahawa PKR telah menerima wakil rakyat yang lompat di Johor; setelah bantahan dalaman kami suarakan rentetan kejadian sama berlaku di Selangor sebelum ini,” tegasnya.

Tiga ADUN di Johor yang sudah menyertai PKR ialah Khairuddin A Rahim (Senggarang), Faizul Amri Adnan (Serom) dan Muhamad Said Jonit (Mahkota).

Tahun lalu, PKR juga menerima dua ADUN AMANAH dari Selangor iaitu ADUN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar dan ADUN Sabak, Ahmad Mustain Othman.

Sehubungan itu, Shazni berharap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan tekad bersama untuk menolak budaya lompat parti sesama komponen PH yang jelas menguntungkan satu pihak dan merugikan pihak yang lain.

“Politik tikam belakang ini usah dibudayakan. Sebagai rakan gabungan dalam PH, menerima penyertaan wakil-wakil rakyat ini hanya akan menyebabkan hubungan antara parti renggang dan keruh di kemudian hari,” tambahnya lagi.

Semalam, Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyifatkan tidak manis mana-mana parti dalam komponan PH menerima mana-mana ahli parti rakan jika memahami semangat setiakawan dalam gabungan itu.

“Saya rasa semangat ini adalah disepakati dalam mana-mana parti yang membentuk pakatan atau gabungan (coalition),” katanya.

Dalam masa sama, AMANAH Kawasan Bukit Bintang menggesa pimpinan AMANAH Nasional supaya mengkaji semula hubungan kerjasama dengan PKR dan kedudukan parti tersebut dalam PH.