Malaysia Dateline

Lompat parti: Perwakilan konvensyen desak pendirian AMANAH

Trend lompat parti dalam kalangan pemimpin besar Umno turut menjadi topik hangat perbahasan Pidato Presiden pada Konvensyen Nasional AMANAH di Ipoh hari ini.

Perwakilan Johor, Ustaz Azam Abdul Razak menggesa penegasan semula pendirian AMANAH dan Pakatan Harapan (PH) tentang polisi lompat parti.

Beliau menegaskan sebahagian mereka terjebak dalam skandal besar ketika pentadbiran Najib Razak sebelum ini.

“Alasan MP Umno Sabah (keluar parti) kerana mereka mahu memberi kestabilan kepada pentadbiran Tun Dr Mahathir. Kita bimbang jika alasan ini digunakan sekadar menghalalkan tindakan.

“Apa sikap AMANAH dalam isu lompat ini? Jangan nanti dalam persaingan untuk mengukuhkan parti masing-masing, akhirnya AMANAH tercicir disebabkan sikap tidak konsisten rakan-rakan PH dalam isu lompat ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan AMANAH dan PH untuk merujuk kembali kepada kesepakatan yang ditandatangani pada 9 Januri 2017 sebelum penubuhan Bersatu.

Ujarnya, persefahaman antara AMANAH, PKR dan DAP ketika itu perlu diangkat kembali untuk menjadi rujukan PH pada masa ini dalam proses pembuatan keputusan.

“Kita sanggah sifat bermuka-muda dan makan keliling. Kita menolak sikap tidak tetap pendirian. Belajar dari sejarah lampau.

“Tinggalkan DNA lama, amalkan kejujuran dalam permuafakatan ini,” tegas Ustaz Azam lagi.

Hal sama turut disentuh perwakilan Sabah, Khairuddin Daud apabila mengingatkan pentingnya aspek tapisan terhadap pemimpin Umno sebelum membenarkan mereka menyertai PH dan AMANAH khususnya.

“Mereka hanya meminta habuan dan jawatan. Kita tidak mahu PH menjadi tempat penyucian pemimpin Umno.

“Mereka perlu melalui (tapisan) jawatankuasa peringkat negeri sebelum mempertimbangkan kemasukan mereka,” tegasnya yang juga Ketua Pemuda AMANAH Sabah.