Malaysia Dateline

Lompat parti: PN guna darurat untuk berpolitik, kekalkan kuasa

Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh menegaskan bahawa pengkhianatan terhadap mandat rakyat tidak wajar dilakukan atas apa jua alasan.

Beliau merujuk kepada isu membabitkan dua orang Ahli Parlimen PKR yang bertindak meninggalkan parti untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, meraih sokongan Ahli-ahli Parlimen melalui ancaman, tawaran jawatan dan habuan ketika memegang tampuk kuasa wajar dikecam.

“Malah, ia boleh dianggap satu bentuk rasuah. Rasuah politik yang wajib ditolak oleh rakyat,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dari Sarawak dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong mengumumkan keluar PKR dan menyatakan sokongannya terhadap Muhyiddin.

Kedua-dua Ahli Parlimen itu bertemu Muhyiddin untuk menyatakan keputusan mereka.

Ia berlaku sehari selepas tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Amanah Negara (AMANAH) dilaporkan menyertai PKR.

Sementara itu Syed Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Ledang menyifatkan Perikatan Nasional (PN) cuba mengambil kesempatan untuk terus mengekalkan kuasa dan berpolitik ketika sidang Parlimen digantung.

Walhal katanya, Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan Parlimen boleh bersidang, namun sehingga hari ini Perdana Menteri dan Kabinetnya masih berdiam diri tidak memberi sebarang maklum balas.

“Apa yang disebutkan dalam amanat Perdana Menteri semalam hanyalah beliau akan menasihati Tuanku Agong untuk membubarkan Parlimen supaya pilihan raya boleh diadakan apabila masalah Covid-19 dapat diatasi.

“Mengapa Parlimen tidak boleh bersidang sebelum itu?

“Sidang Parlimen tidak wajar ditangguhkan lagi dan perlu bersidang dengan kadar segera bagi memastikan semak dan imbang berlaku di dalam pentadbiran negara sekarang,” ujarnya lagi.