Malaysia Dateline

Lompat parti: Wakil rakyat BN perlu terima agenda reformasi PH

Mana-mana wakil rakyat Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu menerima agenda reformasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) terlebih dahulu sebelum bertindak melompat parti, kata Naib Presiden AMANAH Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa.

Beliau berkata, wakil rakyat yang melompat parti perlulah menawarkan agenda reformasi yang lebih baik bukan sekadar menghentam dan menyerang kerajaan PH semata-mata.

Katanya lagi, persepsi keluar parti selalu dikaitkan dengan kepentingan diri kerana ada habuan atau mahu selamatkan diri.

Namun bagi PH beliau berpendapat perlu ada naratif tersendiri berkaitan dengan isu lompat parti.

Jelas Dr Mujahid lagi gabungan empat parti (PKR,DAP, AMANAH dan Bersatu) adalah gelombang kedua negara menampung loncatan besar-besaran rakyat dan wakil rakyat Umno-BN selepas sejarahpembentukan parti Perikatan (Umno,MCA dan MIC- pada 1952).

“PH bukan sekadar parti tetapi satu gelombang kedua negara yang menampung loncatan gergasi negara ke hadapan.

“Gelombang pertama ialah pembentukan BN post Perikatan yang menampung loncatan pertama selepas merdeka.

“Gelombang BN awal 70an adalah jalan keluar krisis perpaduan nasional supaya parti-parti politik tertumpu kepada pembinaan negara,” ujarnya dalam kenyataan.

Bagaimanapun ujarnya lagi, semangat asal BN adalah baik tetapi Umno sebagai tonggak telah tersasar dari hasrat awal pada dekad akhir kekuasaannya.

Beliau merujuk kepada beberapa wakil rakyat dan parti yang menyokong PH dan berhasrat keluar BN.

“Arus wakil rakyat BN meninggalkan Umno/BN semakin kuat, terkini Datuk Dr Noor Azmi Ghazali MP Bagan Serai mengisytiharkan keluar Umno dan kini bebas tetapi menyokong kerajaan PH.

“Sebelumnya Datuk Ismail Kasim (Adun Tambun Tualang) calon MB Perlis yang ditolak istana. Parti Gerakan pula telah isytihar keluar manakala komponen BN Sarawak juga keluar membentuk gabungan sendiri. Saya yakin ramai lagi akan ucapkan adios kepada BN,” ujarnya.

Dr Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, agenda reformasi PH yang mahu keluar dari krisis rasuah dan salahguna kuasa BN punca berlaku lompat parti dan menjadi antara faktor penolak kepada kemenangan PH dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Kemenangan PH adalah bagi memenuhi agenda reformasi negara dan meletakkan negara pada landasannya yang betul. Ini adalah ideologi besar PH yang sepatutnya menggamit parti politik bersama dalam agenda besar ini.

“Jika hasrat PH begitu besar membentuk gelombang perubahan negara, maka isu ‘lompat parti’ sepatutnya diletakkan dalam perspektif ‘bersama gelombang’ ini bukan atas kepentingan sempit peribadi.

“Penggerak PH juga perlu war-warkan ideologi besar PH ini supaya hasrat meninggalkan BN adalah untuk menyambung gelombang perubahan kedua.

“PH dan parti-parti yang menjayakan gelombang kedua negara ini tidak perlu ‘mengungkit-ungkit’ hasrat pemimpin BN yang ingin
meninggalkan bahtera mereka.

“Apa yang patut ditegaskan ialah memahamkan mereka tentang ideologi PH yang mencakupi kepentingan mereka juga. Tak perlu memainkan isu kononnya mahukan jawatan atau kedudukan tetapi memastikan mereka menyokong agenda reformasi negara.

“PH bukan BN sebab gelombang reformasi adalah tunjang utama kehadiran PH.

“Namun demikian awas! sama seperti BN, apabila pemimpinnya hilang fokus pada sebab utama kehadirannya, PH juga akan menerima nasib yang sama akan ditolak oleh rakyat,” ujarnya.