Malaysia Dateline

Long Tiger berada di Melaka

Pihak polis Melaka menerima maklumat ‘Long Tiger’ atau nama sebenarnya Abd Hamim Ab Hamid, 33, berada di negeri itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Azlan Abu, berkata hingga petang ini belum ada tangkapan walaupun ada menerima maklumat tersebut.

“Kita ada terima maklumat tetapi apabila pasukan polis pergi (ke lokasi) tiada (suspek) kosong dan sekiranya suspek berjaya ditahan semula kita akan maklum,” lapor BH.

Kelmarin, lelaki warga Myanmar itu meloloskan diri daripada lokap Mahkamah Majistret Tangkak dalam keadaan tangan bergari.

Suspek yang memakai baju T cerah, berseluar panjang coklat serta memakai selipar melarikan diri melalui pintu utama mahkamah serta menghilangkan diri sekitar semak samun berhampiran mahkamah tersebut.

Susulan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak dilapor mendapatkan bantuan daripada beberapa IPD berdekatan bagi mengesan ‘Long Tiger’.