Malaysia Dateline

Longgar sekatan: Covid-19 muncul kembali di Wuhan, Korea catat kluster hiburan malam

Tidak berapa lama sekatan pergerakan dilonggarkan di kebanyakan negara, kes positif Covid-19 kembali direkodkan sekali gus mengundang kebimbangan kemungkinan wujud gelombang jangkitan baharu.

Di China, kluster baharu Covid-19 dilaporkan muncul di pusat pandemik, Wuhan yang empat minggu lalu dikenakan perintah berkurung.

Kelmarin, pihak berkuasa mengesahkan seorang disahkan positif jangkitan Covid-19 di Wuhan diikuti semalam dengan lima kes lagi.

AFP melaporkan semua kes baharu itu berasal dari kawasan kediaman sama dengan kebanyakannya membabitkan warga emas.

Sementara itu, tiga jangkitan baharu disahkan muncul di Shulan, kawasan di timur laut China dengan kira-kira 670,000 penduduk.

Keseluruhannya, terdapat 11 kes jangkitan baharu di wilayah Hubei yang tidak bergejala. Sehubungan itu, pihak berkuasa mengeluarkan arahan supaya orang ramai berada di dalam rumah.

Di Korea Selatan, petugas kesihatan bergelut untuk menjejaki ribuan orang yang mengunjungi kelab dan bar di Itaewon sejurus peningkatan mendadak kes baharu daripada kluster hiburan malam.

Sebanyak 86 kes baharu direkodkan daripada kluster itu setakat tengah hari semalam selepas dipercayai seorang lelaki berusia 29 tahun yang positif Covid-19 mengunjungi lima kelab malam dan bar di Itaewon awal bulan ini.

Ramai pengunjung kelan dan bar di kawasan itu sukar dan gagal dijejaki menyebabkan Perdana Menteri, Chung Sye-kyun mendesak semua pengunjung pusat hiburan terbabit tampil untuk diuji.