Malaysia Dateline

Longgarkan PKP biar berperingkat, ambil kira status zon

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berpendapat langkah kerajaan membuka hampir semua sektor ekonomi mulai esok tidak mengambil kira status kadar jangkitan Covid-19.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, hanya sektor industri di zon hijau iaitu bebas Covid-19 dibenarkan beroperasi manakala zon merah (41 kes dan ke atas) masih lagi perlu dikawal.

“Kelonggaran PKP tidak mengambil kira status zon sama ada banyak, kurang atau tiada kes jangkitan.

“Sepatutnya, kelonggaran PKP ini mengambil kira mukim. Kalau (zon) hijau baru dibenarkan operasi perniagaan.

“Zon merah dengan kadar jangkitan masih tinggi tidak boleh disamakan dengan zon lain,” katanya dalam Siri 18: Bicara Santai PKP Bersama YB Khalid Samad semalam.

Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) seolah-olah baru tersedar negara kerugian RM2.4 bilion setiap hari sejak PKP dikuatkuasakan.

“Selama ini tidak terlintas di fikiran hasil daripada PKP ini. Memanglah ekonomi akan terjejas. Itulah sebab kita perlu mengimbangi antara dua (ekonomi dan kesihatan) bukan main lepas (longgarkan PKP) ikut jenis perniagaan dan industri.

“(Sepatutnya) mengikut keadaan kawasan dan perlulah dilakukan secara berperingkat,” jelasnya ketika dimoderatorkan Shaiful Roseman.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membenarkan hampir semua sektor ekonomi beroperasi dan rakyat dibolehkan melakukan aktiviti sosial mulai esok.

Menurutnya, mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, Majlis Keselamatan Negara dan Jemaah Menteri telah mengadakan perbincangan secara panjang lebar dalam mencari jalan mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung wabak Covid-19.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, langkah berperingkat diikuti pemantauan bagi tujuan kawalan perlu dilaksanakan sebelum membenarkan sektor ekonomi beroperasi sepenuhnya di daerah seterusnya negeri.

“Contohnya, benarkan 10 peratus dahulu supaya kita boleh pantau dan kawal bagi mengelak daripada berlakunya kes jangkitan.

“Kena pantau, pastikan orang ikut SOP (prosedur operasi standard) kerana kita sedang membuat keputusan yang berisiko tinggi,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau bimbang langkah Putrajaya membenarkan hampir semua sektor ekonomi dibuka mulai esok akan mengundang gelombang kes positif Covid-19 yang mendadak nanti.

“Sekarang ini beri kepada semua, siapa nak pantau di seluruh negara. Bagaimana untuk tentukan orang ramai faham dan patuhi SOP?” soalnya lagi.