Malaysia Dateline

Longgarkan PKP sekarang agak gopoh, kata bekas Menteri Kesihatan

Kelonggaran dalam Fasa 4 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan semalam, dianggap sebagai langkah agak gopoh, kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Bekas Menteri Kesihatan itu menyifatkan langkah tersebut bukan bersifat ‘soft landing’ kerana ‘Exit Strategy’ belum sempat dihayati dan difahami.

“Diakui, sangat komprehensif pelan dan langkah-langkah yang disediakan. Ya, itu atas kertas.

“Pembudayaan amalan ‘Norma Baru’ atau ‘New Normal’ memerlukan sedikit masa untuk dikempen dan didoktrinkan secara betul-betul.

“Masa sebelum 12 Mei diharapkan akan dimanfaatkan sebaiknya. Malangnya, tiba-tiba 4 Mei ini, semacam sudah ‘back to business as usual’, ini yang ramai ralatkan,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebooknya.

Dalam isu sama, Dr Dzulkefly yang juga Pengarah Strategi AMANAH turut mengingatkan agar jangan berasa selesa dan mengambil mudah.

Ini kerana katanya, insiden-insiden kes baharu berpunca daripada komuniti sendiri sporadic cases) masih dikesan pada jumlah ‘double digits’ (57 terkini) dan Selangor juga tidak terkecuali.

“Seperkara lagi, kerajaan-kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) atau Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) mesti mewujudkan Rapid Response Team (RRT) yang mampu melaksanakan ‘Saringan Komuniti Bersasar’, lsolasi dan Rawat.

“Saya juga ingin mengingatkan kepada semua kemestian untuk mengamalkan jarak fizik dan kebersihan.

“Basuh tangan, pakai topeng muka sekiranya batuk, selsema dan lain-lain. Individu dan pemilik syarikat juga mestilah membudayakan ‘New Normal’ segera secara berkesan dan konsisten,” ujar Dr Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan di Malaysia akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bermula Isnin ini.

Beliau berkata, mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, Majlis Keselamatan Negara dan Jemaah Menteri telah mengadakan perbincangan secara panjang lebar dalam mencari jalan mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung wabak COVID 19.

“Atas nasihat Kementerian Kesihatan berdasarkan data-data yang dikumpul dan amalan terbaik yang ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan SOP kesihatan yang ketat,” katanya dalam perutusan khas Hari Pekerja 2020 seperti dipetik Bernama.