Malaysia Dateline

Lonjakan kes Covid-19: Bukan kuasa kerajaan negeri Selangor tutup kilang

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Negeri Selangor, Ng Sze Han hari ini menjelaskan kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berhubung isu penutupan kilang bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, isu berkenaan melibatkan penggunaan peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171], khususnya Seksyen 107(2), untuk menutup kilang dengan membatalkan lesen yang dikeluarkan oleh PBT.

Seksyen 107(2) itu menyebut: “Tiap-tiap lesen atau permit yang diberi tertakluk kepada apa-apa syarat dan sekatan yang difikirkan patut oleh pihak berkuasa tempatan dan boleh dibatalkan oleh pihak berkuasa tempatan pada bila-bila masa tanpa memberi apa-apa sebab.”

Bagaimanapun kata Ng, walaupun seksyen yang dirujuk seperti memberi kuasa mutlak kepada PBT untuk membatalkan lesen, namun ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

“Tindakan pembatalan harus dilakukan mengikut syarat serta parameter yang tertera di dalam lesen pada waktu ianya dikeluarkan. Dan bukannya bersifat arbitrari, dilakukan secara sewenang-wenangnya atau tanpa asas.

“Seksyen ini juga tidak menjelaskan berhubung tindakan PBT untuk mengarahkan penutupan kilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa ini, orang ramai mula mempertikai kuasa kerajaan negeri yang tidak bertindak menutup operasi kilang-kilang di Selangor yang diketahui menjadi punca lonjakan kes Covid-19 setiap hari.

Banyak kekeliruan yang timbul berhubung kuasa kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dalam mengeluarkan arahan penutupan operasi kilang.

Justeru Ng menambah, lesen operasi kilang yang dikeluarkan oleh PBT adalah tertakluk di bawah Akta 171 sahaja dan tidak melibatkan hal ehwal kesihatan berkenaan pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit.

Ini membawa maksud, undang-undang kesihatan berkenaan hal itu dikuatkuasakan oleh kerajaan Persekutuan melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 iaitu Akta 342.

Pada 3 Mac lalu, Menteri Kesihatan dan Menteri Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri telah meminda Seksyen 2(1) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) Pindaan 2021.

Kerajaan juga memperluaskan pegawai yang terlibat merangkumi Badan Berkanun dan PBT agar dapat turut bersama menjalankan penguatkuasaan ke atas Tatacara Pengendalian Piawai (SOP).

Namun Ng berkata, harus diingatkan bahawa pindaan di atas bukan bermaksud PBT mempunyai kuasa untuk menutup kilang.

“Pindaan itu dibuat bagi membolehkan Pegawai Kesihatan Persekitaran di PBT membantu menjalankan penguatkuasaan SOP dan arahan kerajaan Persekutuan. Kuasa tersebut masih di bawah kerajaan Persekutuan.

“Setakat ini salah satu usaha penutupan kilang dan pematuhan SOP dilaksanakan di bawah Op Patuh.

“Operasi tersebut telah dilaksanakan oleh suatu Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan Pematuhan SOP PKP Covid-19 (JKPS) yang diketuai oleh Kementerian Dalam Negeri yang mana PBT Selangor hanyalah salah satu anggota jawatankuasa,” ujarnya.

Berdasarkan laporan Polis DiRaja Malaysia, sejumlah 2,266 pemeriksaan telah dijalankan dalam Op Patuh di Selangor dari 25 Jun hingga 12 Julai dengan 65 kompaun dikeluarkan dan sebanyak 27 premis termasuk kilang telah diarah tutup.