Malaysia Dateline

Lori bawa pekerja positif Covid-19 ditahan, pengurusan kilang proses ayam disiasat

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Kedah petang semalam berjaya mengesan dan menahan lori yang membawa ramai pekerja sebuah kilang pemprosesan ayam di Sungai Lalang, Bedong yang positif Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata terdahulu pihaknya berjaya mengesan lori itu susulan tular video dan beberapa gambar berkaitan lori tersebut.

“Hasil siasatan mendapati terdapat kes positif dikesan di sebuah kilang pemprosesan ayam di Sungai Lalang, Bedong dan 135 pekerjanya diarah ke Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda bagi dipakaikan gelang merah jambu.

“Dipercayai majikan kilang berkenaan mengatur tiga kali perjalanan lori terbabit untuk membawa semua 135 pekerja yang positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Polis mengeluarkan saman kepada pemandu lori kerana kesalahan menggunakan lesen kenderaan memandu (LKM) bagi tujuan lain.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, seramai 48 pekerja yang baru dipakaikan gelang merah jambu didapati menaiki lori untuk pulang ke asrama penginapan mereka di Sungai Lalang.

Semalam, tular video dan gambar lori yang membawa pekerja terbabit sehingga mengundang rasa marah orang ramai melihat mereka diperlakukan seperti hamba selain bimbang penularan Covid-19 dalam kalangan penduduk tempatan.

Ketua Umno Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff dalam hantaran di Facebook berkata, gambar lori terbabit dirakamnya sendiri ketika berada di lampu isyarat Plaza Tol Sungai Petani Utara.

“Hakikatnya, kita semua sedih cara majikan bawa mereka. Saya sebak tengok awal-awal tadi mereka ni dalam lori.

“Selalu lori macam ni bawa lembu, ayam atau Cik Bab (babi). Moga majikan ni ambil iktibar. Sedih.

“Dan yang naik motor tak pakai pelitup muka. Inilah risikonya virus boleh melalui angin,” luahnya dalam hantaran yang dikongsi hampir 1,000 warganet lain setakat pagi ini.

Sehubungan itu, beliau mengecam Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang memberi kebenaran untuk kilang terus beroperasi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Adzli lanjut memberitahu, lori yang ditahan kereta peronda polis itu membawa kumpulan terakhir pekerja kilang untuk pulang ke asrama.

“Seramai 48 pekerja kilang berada dalam lori itu dikesan positif Covid-19 dengan keadaan tangan bergelang merah jambu dan diarah dikuarantin di asrama.

“Pemandu lori itu kemudian disaman kerana kesalahan mengikut Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan lesen kenderaan memandu (LKM) bagi tujuan lain,” katanya.

Pihak pengurusan kilang turut disiasat Seksyen 22 (b) Akta 342 kerana kesalahan tidak mematuhi perintah dikeluarkan pegawai yang diberi kuasa dan Seksyen 270 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan penyakit berbahaya kepada nyawa.