Malaysia Dateline

Lotte Chemical nafi khabar angin terlibat pencemaran Sungai Kim Kim

Lotte Chemical Titan Holding Bhd menafikan khabar angin yang menyatakan syarikat berkenaan terlibat dengan insiden pencemaran di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang dan sedang mempertimbang tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan tuduhan itu.

“Syarikat ini menafikan khabar angin tersebut dan ingin memaklumkan bahawa semua kilang di Pasir Gudang dan Tanjung Langsat beroperasi dalam keadaan normal dan perniagaan berjalan seperti biasa,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Lotte Chemical Titan juga menyangkal tuduhan bahawa kilang-kilangnya di Pasir Gudang akan atau perlu ditutup selama dua minggu susulan insiden pencemaran yang berlaku di Sungai Kim Kim.

“Syarikat memandang serius perkara ini dan mempertimbang semua langkah sesuai, termasuk tindakan undang-undang yang dianggap munasabah terhadap mana-mana pihak yang memula, menyebar atau memutarbelit tuduhan tidak berasas atau khabar angin ini,” kata syarikat itu.

Lotte Chemical berkata syarikat itu bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa, organisasi dan syarikat lain di sekitarnya bagi mendapatkan sokongan dan bantuan.

“Lembaga menyedari keperluan penyebaran maklumat yang tepat kepada orang ramai dan pengumuman di Bursa Malaysia akan dikeluarkan berkaitan sebarang isu penting tepat pada waktunya mengikut Keperluan Penyenaraian.”

Kata syarikat berkenaan, pihaknya akan terus memantau khabar angin atau maklumat kurang tepat yang boleh memberi kesan kepada syarikat itu.

Saham Lotte Chemical Titan tidak berubah pada RM4.27 semasa rehat tengah hari, dengan 134,700 saham diniagakan.

— BERNAMA