LPPKN terima anugerah Antarabangsa

LPPKN terima anugerah Antarabangsa

Malaysia melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah menerima anugerah daripada Persekutuan Pembangunan Keluarga Antarabangsa (IFFD) atas inisiatif membangunkan Dasar Keluarga Negara.

LPPKN dalam kenyataan berkata anugerah itu bagi kategori Organisasi Keluarga disampaikan di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York hari ini (8 Feb) bersempena Persidangan Pembangunan Sosial ke-55.

Ia dihadiri Pengerusi LPPKN Datuk Mariam Mas Yaacob dan Ketua Pengarah LPPKN Datuk Dr Siti Norlasiah Ismail.

IFFD adalah pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa berstatus perundingan dengan PBB.

Menurut kenyataan itu, Malaysia adalah antara negara yang mempunyai dasar eksplisit berkaitan keluarga yang mengutamakan perspektif keluarga dalam perancangan pembangunan negara.

“Dasar Keluarga Negara yang dilancarkan pada tahun 2011 oleh kerajaan telah menghasilkan pelan tindakan seterusnya seperti sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan pada November, pemberian insentif cukai kepada pelaksanaan program aturan kerja anjal serta Hari Keluarga di sektor korporat,” menurut kenyataan itu.

TAGS