LPT3 mampu ubah taraf hidup nelayan pesisir pantai Kelantan

LPT3 mampu ubah taraf hidup nelayan pesisir pantai Kelantan
Datuk Kamaruddin Md Nor

– Lebuh Raya Pantai Timur 3 (LPT3) yang menghubungkan Terengganu dengan Kelantan akan mengubah taraf hidup penduduk di empat jajahan pesisir pantai di Kelantan, iaitu Pasir Puteh,  Bachok,  Kota Baharu dan Tumpat.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor berkata,  keputusan Kerajaan Persekutuan membina lebuh raya itu mampu meningkatkan pelbagai kegiatan bagi menambah pendapatan terutama berasaskan kepada sumber hasil laut.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman kerajaan Pusat yang meluluskan peruntukan sebanyak RM1.4 bilion kepada Kelantan, yang antaranya termasuk pembinaan LPT3 dari Gemuruh, Trengganu hingga ke Tumpat, Kelantan, sejauh 150km.

Kamaruddin berkata dengan adanya LPT3 itu nanti ia mampu membangunkan ekonomi di kawasan persisiran pantai dengan lebih efisien.

“Kita juga harapkan dengan adanya LPT3 ini dapat memajukan Pelabuhan Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia  (LKIM) di Tok Bali, Pasir Puteh, bagi membangunkan ekonomi di kawasan persisiran pantai.

Kamaruddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Bahagian Pasir Puteh berkata, nelayan di kawasan lain turut mendapat faedah walaupun projek itu tertumpu di Pelabuhan LKIM Tok Bali.

Katanya, menerusi pembinaan LPT3 itu ia akan mendekatkan jarak perhubungan antara Tok Bali-Bachok-Kota Baharu dan Tumpat untuk membolehkan mereka turut sama merebut pelbagai peluang ekonomi yang akan wujud di situ.

“Mereka boleh mewujudkan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk menghasilkan keropok, bebola ikan, sotong, ikan segar dan ikan sejuk beku untuk dieksport ke luar Kelantan,” katanya.

“Pada masa ini terutama pemilik bot laut dalam sukar  memasarkan ikan segar ke Kuala Lumpur kerana jaraknya terlalu jauh dan terpaksa mengambil masa antara 10 hingga 12 jam yang menyebabkan ikan-ikan yang dipasarkan tidak lagi bermutu,” katanya.

Kamaruddin berkata,  nelayan Pangkalan Kubur, (Tumpat)  dan Kuala Besar  (Kota Baharu) serta  Tak Bai (Selatan Thailand) juga akan turut mendapat manfaat hasil pembangunan jalan berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Bachok,  Mohd Saripudin Ishak berkata,  lebih 100 bot nelayan  kelas A dari Bachok sedang beroperasi di Pelabuhan LKIM itu manakala 100  lagi  terpilih menjadi peserta di kawasan Penempatan Semula Nelayan yang berhampiran denga pelabuhan itu.

Beliau berkata, sebarang bentuk pembangunan di kawasan itu akan turut dirasai nikmatnya oleh nelayan Bachok.

“Jika menjadi kenyataan jarak perjalanan antara Tok Bali dengan Kuala Lumpur hanya mengambil masa enam jam sahaja,  selain menjimat masa ia juga dapat mengurangkan kos perjalanan termasuk minyak jentera dan makan minum,” katanya.

Beliau berkata,  dengan perubahan itu kerajaan mampu menarik minat lebih ramai pelabur  untuk melabur di Tok Bali dan seterusnya membuka peluang kepada nelayan menambah pendapatan,” katanya.

Mohd Rofi Jusoh, 47, berkata, keputusan kerajaan itu juga turut memberi nafas baru kepada penduduk yang sebilangan besarnya terdiri peserta projek tanaman tembakau, Lembaga Tembakau Negara (LTN) yang hilang mata pencarian selepas projek tanaman tembakau dihentikan.

Beliau  bagaimanapun  berharap kerajaan dapat memastikan peluang-peluangnya pekerjaan dan perniagaan diberikan kepada penduduk tempatan sebelum diisi oleh rakyat asing.

Kita tidak mahu  sebagaimana yang berlaku di Pelabuhan LKIM banyak peluang-peluang pekerjaan di isi oleh rakyat asing dengan 80 peratus  dari Selatan Thailand,” katanya.

Seorang pengusaha kedai makan Abdullah Hussin, 48, berkata, beliau bercadang membesarkan lagi perniagaannya selaras dengan arus pembangunan Tok Bali kelak.

Beliau berkata,  pada masa ini beliau memperoleh RM500 hasil pendapatan jualan roti canai sehari di kedainya yang terletak di tepi jalan Kampung Pacahakan.

Abdullah berkata, lebih manis lagi jika beliau diberi peluang memilki kedai makan sendiri yang kini beliau terpaksa menyewanya dengan harga RM400 sebulan.