Malaysia Dateline

LRA Rantau Panjang tercemar lagi, dihenti tugas bermula 7.10 petang tadi

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah menerima laporan daripada pihak AIR Selangor berkenaan pencemaran bau seakan ‘solvent’ dengan bacaan 1 ton di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang pada jam 7 petang tadi (18 November 2020).

Berikutan itu, LRA Rantau Panjang telah dihenti tugas pada jam 7.10 petang tadi, demikian menurut kenyataan ringkas daripada LUAS di facebooknya sebentar tadi.

LUAS, AIR Selangor dan pihak-pihak terlibat sedang menjalankan siasatan dan tindakan-tindakan mitigasi segera.

“Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

10 November baru-baru ini, LRA Rantau Panjang telah dihentikan tugas juga disebabkan oleh pencemaran bau seakan-akan Solvent yang telah dikesan di Sungai Selangor.