Malaysia Dateline

LRT bertembung: Poster Ketua Pemuda Pas mengundang ucapan ‘takziah’ warganet

 

Sekali pandang sahaja, rata-rata warganet menganggap poster ucapan takziah Ketua Pemuda Pas, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) seperti tidak sesuai dan berlebihan.

Imejnya bersaiz gergasi sambil menadah tangan itu susulan insiden dua buah tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya bertembung yang mengakibatkan 47 penumpang cedera parah dan 166 mangsa lagi cedera ringan malam tadi.

Malah, poster hasil suntingan itu juga dilihat tidak menghormati sejumlah mangsa yang bergelimpangan kesakitan seperti yang terdapat pada gambar asal.

Ada warganet yang dilihat secara sinis bertanyakan sama ada gambar paling besar itu juga adalah antara mangsa kejadian pada malam menjelang pelaksanaan sekatan tambahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Gambar dia paling hadapan, maka adakah dia juga mangsa kejadian?” soal pengguna Facebook Faizal Riduan.

Bahkan, imej Khairil yang ‘mengisi’ penuh ruang dalam LRT yang terlibat nahas itu turut mengundang ucapan takziah warganet.

“Mangsa gambar tengah tu ka yang mati? Sebab muka dia paling besar. Takziah. Innalillahi wanna ilaihi rajiun,” sindir Siti Aishah pula.

Tidak kurang juga warganet yang berpendapat poster tersebut tidak perlu pun meletak gambar pemimpin Pas itu sedang acah berdoa.

Terdahulu, Khairil menerusi ucapan di Twitter kira-kira jam 1 petang tadi mendoakan agar kesemua yang terlibat dalam tragedi tersebut dipermudahkan segala urusan rawatan dan diberikan kesembuhan segera.

“Tragedi ini adalah yang pertama kali berlaku selepas 23 tahun LRT beroperasi,” kata bekas calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bagi kerusi Parlimen Gombak itu lagi.