LRT3: Prasarana akan beri kerjasama penuh dalam siasatan SPRM

LRT3: Prasarana akan beri kerjasama penuh dalam siasatan SPRM

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mana-mana agensi yang menjalankan penyiasatan sekiranya terdapat sebarang unsur rasuah dan salahguna kuasa dalam pembangunan projek Transit Aliran Ringan 3 atau LRT3.

Dalam satu kenyataan hari ini, turut menyatakan pendirian bahawa Prasarana akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam apa jua siasatan yang melibatkan organisasi berkenaan.

Semalam, dilaporkan berhubung siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM terhadap ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan yang terlibat dari tahun 2014 ke 2017, serta jururunding, kontraktor, dan rakan pelaksana projek (PDP) yang terlibat dalam projek LRT3 tersebut.

Prasarana, dalam satu kenyataan media hari ini, berkata ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan syarikat memandang berat terhadap sebarang salahlaku yang menjejaskan integriti dan nama baik syarikat itu.

Lembaga Pengarah Prasarana pada 12 Jun lalu, juga telah mengarahkan pengurusan kanan syarikat untuk melaporkan kepada Ketua Pegawai Integriti Prasarana sekiranya terdapat sebarang kejadian dan penyimpangan yang disyaki dalam projek tersebut.

Ketua Pegawai Integriti Prasarana adalah pegawai bertauliah integriti yang dipinjam dari SPRM, menurut kenyataan itu.