LTAM cari penaja swasta tampung aktiviti persatuan

LTAM cari penaja swasta tampung aktiviti persatuan

Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) akan berusaha mendapatkan penajaan daripada syarikat korporat bagi memastikan badan induk itu dapat terus melaksanakan pelbagai kejohanan dan program pembangunan peringkat akar umbi yang dirancang tahun depan.

Presiden LTAM, Mirzan Mahathir mengakui pengurangan dana daripada kerajaan menyebabkan mereka terpaksa mencari dana daripada pihak swasta bagi memastikan mereka dapat menjalankan pelbagai program sedia ada termasuk program pencarian bakat baharu.

“Kita akui pengurangan dana daripada kerajaan sedikit sebanyak memberi kesan kepada pihak persatuan.

‘’Untuk memastikan sukan itu berkembang, pihak persatuan akan mencari tajaan mencukupi dan memastikan pengurusan pentadbiran yang cekap, maka sukan (tenis) itu akan berpeluang menjadi sukan berprestasi tinggi,” katanya pada sesi minum petang bersama pengamal media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mirzan memaklumkan pihaknya akan memperbanyakkan kejohanan tenis pelbagai peringkat umur pada tahun depan bagi memastikan sukan berkenaan dapat melahirkan lebih ramai pelapis pada masa akan datang.

Antara kejohanan berkenaan adalah Sirkit Jelajah Tenis Remaja 2019 yang melibatkan lapan pusingan dari Januari hingga November tahun depan di seluruh negara.

Pusingan pertama akan berlangsung di Pusat Tenis Negara, Jalan Duta dari 10-13 Jan; pusingan kedua di Johor (30 Jan-2 Feb); pusingan ketiga di Perlis (7-10 Mac); pusingan keempat di Negeri Sembilan (1-4 Mei); pusingan kelima di Pahang (4-7 Julai); pusingan keenam di Sabah (13-16 Ogos); pusingan ketujuh di Kedah (5-8 Sept) dan pusingan kelapan di Perak (7-10 Nov).

Mirzan memaklumkan beberapa kategori peringkat umur dari bawah lapan tahun sehingga peringkat terbuka akan dipertandingkan pada setiap pusingan.

“Kita menyasarkan untuk menarik penyertaan sekurang-kurangnya 300 peserta dalam setiap pusingan,” jelasnya.

— BERNAMA