Malaysia Dateline

LTAT: Dividen 2 peratus bagi menjaga kebajikan anggota tentera, kata Menteri Pertahanan

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menegaskan dividen sebanyak 2 peratus yang diumumkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini, adalah bagi
menjaga kebajikan anggota tentera.

Beliau berkata, pada masa ini Kerajaan tidak gusar untuk mengisytiharkan pulangan yang rendah bagi tahun kewangan 2018 kerana ia seiring dengan kemampuan LTAT pada ketika ini.

“Ini penting bagi melindungi simpanan ahli supaya tidak tergadai seperti semasa pentadbiran sebelum ini.

“Saya menyeru LTAT untuk terus memperketatkan strateginya untuk menjana pulangan yang lebih baik, mampan dan bertanggungjawab demi kebaikan ahli-ahlinya

“LTAT perlu menjaga kebajikan anggota ATM untuk jangka masa panjang. Saya menyeru LTAT untuk terus berpegang kepada mandat ini kerana tiada gunanya
untuk mengisytiharkan dividen yang tinggi jika ia memberi kesan negatif terhadap kewangan mereka untuk jangka masa panjang. Kesannya boleh dilihat dari tahuntahun sebelum ini,” ujar beliau dalam kenyataan malam ini.

Kenyataan kementerian itu berhubung pengumuman dividen oleh Pengerusi LTAT Datuk Mohd Zahidi Zainuddin hari ini, menimbulkan pertikaian ramai pihak kerana kadar dividen yang rendah.

Ini kerana  keuntungan bersih tidak diaudit berjumlah RM221 juta bagi tahun itu ialah penurunan ketara 51.9 peratus berbanding RM459.5 juta bagi tahun sebelumnya disebabkan pelbagai faktor yang berlaku dalam dua tahun lalu

Kata Mohamad lagi, LTAT telah menjalankan tanggungjawabnya seiring menjana pulangan yang mampan untuk ahli-ahlinya.

“Pengurusan LTAT hari ini mewarisi organisasi yang sarat dengan pelbagai ketidakpatuhan serta kelemahan pengurusan, kesan daripada kepimpinan yang tidak telus sebelum ini.

“Untuk LTAT mengisytiharkan dividen yang lebih tinggi, ia memerlukan pulangan yang baik hasil daripada pelaburannya. Pelaburan tidak munasabah yang dijalankan oleh kepimpinan terdahulu telah menyebabkan kurangnya pulangan untuk tahun ini,” ujar Mohamad lagi.

LTAT telah menerima Pendapat Berteguran daripada JabatanAudit Negara bagi Tahun Kewangan 2017. Jumlah keuntungan bersih LTAT padatahun 2017 telah diselaraskan kerana mengambil kira hasil daripada jualan tanah yang belum dimuktamadkan.

Untuk rekod, pendapatan bersih LTAT pada tahun 2017 turun sebanyak lebih 30% daripada RM686.8 juta kepada RM459.5 juta. Bagi Tahun Kewangan 2016,
pendapatan bersih LTAT juga turun sebanyak 48% daripada RM685.5 juta kepada RM356.2 juta setelah mengambil kira penyelarasan daripada penjualan tanah yang tidak dimuktamadkan namun hasil daripada jualan itu telah diambil kira sebagai pendapatan LTAT.