Malaysia Dateline

LTdL jenama dunia mengangkat nama Sarawak

Selepas 23 tahun, akhirnya Jelajah Le Tour De Langkawi (LTdL) 2020 kembali mewarnai Bumi Kenyalang yang berlangsung di Bandaraya Kuching semalam.

Ini kerana, Kuching pernah menjadi lokasi saringan ialah pada perlumbaan 1997.

Itulah yang pertama kali dan terakhir peminat di negeri ini menyaksikan kelibat pelumba-pelumba basikal handalan dari seluruh dunia ‘berambeh’ di Kuching.

Namun, atas usaha Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) di bawah Menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Bandaraya Kuching akhirnya dipilih antara medan peringkat 1 pada LTdL kali ini.

Justeru, strategi itu akan menjadikan LTdL 2020 satu acara yang menyumbang kepada tarikan industri pelancongan sama ada dari dalam dan luar negeri Sarawak.

Pemuda AMANAH Sarawak menyifatkan acara tersebut adalah jelas mempamerkan hasrat Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH) sedaya-upaya untuk mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan yang menarik untuk dikunjungi di samping mengangkat nama Bumi Kenyalang di persada dunia.

Menerusi Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Sarawak, Ngu Hang Chieng dalam kenyataannya berkata, dengan tema “Sports Unite, Cycling Contribute” pastinya Bandaraya Kuching, Sarawak terpahat di peta dunia sebagai trek sukan berbasikal lebuhraya yang akan menjadi daya penarik kepada 3.5 juta komuniti berbasikal dunia.

Sehubungan itu, jelas beliau, Pemuda AMANAH Sarawak menyarankan agar acara LTdL dan sukan-sukan besar terus diadakan di negeri ini pada masa akan datang.

“Kami menyarankan agar Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Kesenian, Pelancongan, Kebudayaan, Sukan dan Belia Sarawak bekerjasama dengan memanfaatkan LTdL 2020 ini untuk memperkembangkan digital ekonomi kepada anak muda khususnya dalam bidang sosial media dan grafik.

“Malah, acara kesenian dan produk-produk tempatan wajar mengambil tempat sebelum acara kemuncak di lokasi strategik kepada rombongan peserta dari luar negara dan para pelancong yang hadir.

Menurut Ngu, program bertaraf antarabangsa seperti ini adalah peluang pemasaran yang besar kepada penggiat industri pelancongan, kraftangan, grafik dan kesenian tempatan.

Bagaimanapun, ujarnya, adalah sebaiknya acara berkenaan diadakan pada hujung minggu dan elakkan hari bekerja kerana penutupan beberapa jalan utama mendatangkan kesusahan kepada pengguna jalan raya.

“Acara ini mampu mempromosikan Sarawak ke mata dunia. Dengan kepelbagaian yang membina keharmonian Sarawak adalah mesej yang harus diangkat kepada rakyat Malaysia dan seluruh dunia.

“Bukan sahaja mempromosikan Sarawak malahan mempromosikan berbasikal sebagai gaya hidup sihat dan sektor-sektor lain yang ada melalui kehadiran media antarabangsa sepangjang acara ini berlangsung,” kata beliau lagi.

Jelajah LTdL merupakan acara perlumbaan basikal bertaraf dunia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tahun ini, acara yang memasuki edisi ke-25 penganjurannya telah diberi nafas baharu apabila kembali diadakan di seluruh lokasi utama seluruh Malaysia termasuk di Kota Kinabalu dan Kuching.