Malaysia Dateline

LTSAAS: Kerajaan perlu perjelas dakwaan jual aset negara kepada tauke

Awal Mei lalu, dilaporkan bahawa cadangan membangunkan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) atau Lapangan Terbang Subang menerusi penswastaan, masih lagi berada di peringkat awal dan sebarang pertimbangan serta keputusan akhir akan diputuskan oleh Kabinet.

Bagaimanapun sehingga kini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong masih belum memberikan jawapan biarpun selepas didesak beberapa pihak untuk menolak cadangan penswastaan itu termasuk Kesatuan-kesatuan pekerja Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendesak agar kerajaan tampil ke hadapan dan berani memberi penjelasan sama ada Lapangan Terbang Subang akan digadai atau tidak.

Beliau juga mempersoalkan sama ada kerajaan sedar atau tidak bahawa Lapangan Terbang Subang adalah aset negara di mana pegangan saham MAHB dimiliki oleh Khazanah Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Rakyat (KWSP), dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP).

“Waktu darurat, kerajaan Perikatan Nasional gadai aset negara? Lapangan Terbang Subang (LTSAAS) akan dijual kepada tauke? Konsesi sampai tahun 2092?

“CEO Malaysia Airports Holdings (MAHB) & Malaysia Aviation Group (MAG) dah hantar surat merayu kerajaan jangan jual LTSAAS. Apa dah jadi ni?

“Kalau jual kepada tauke, MAHB akan rugi RM11.9 bilion. Yang untung, tauke sahaja. Yang rugi, rakyat lah. Sampai bila nak tunduk kepada wang tauke?,” soalnya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Saddiq dalam hantaran Facebooknya mendedahkan satu surat yang didakwa dari CEO MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh dan CEO MAG, Izham Ismail yang diserahkan kepada pejabat Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak.

Menerusi surat tersebut, diberitahu bahawa ada cadangan dari sebuah syarikat swasta kepada kerajaan Malaysia melalui MoT untuk mengambil alih pengendalian Lapangan Terbang Subang dan mengeluarkannya dari keseluruhan sistem rangkaian lapangan terbang MAHB.

Justeru, MAHB dan MAG menyenaraikan beberapa kesan buruk terhadap cadangan yang diutarakan syarikat tersebut di mana tindakan kerajaan Malaysia sekiranya membenarkan pengambilalihan, akan memberikan impak negatif terhadap industri penerbangan awam Malaysia, terutama KLIA.

Sebelum ini media melaporkan ahli perniagaan, Tan Sri Desmond Lim dikatakan merancang untuk mengambilalih Lapangan Terbang Subang membabitkan nilai RM3.7 bilion.

Sebuah portal berita melaporkan Lim yang juga pemegang saham terbesar dalam syarikat hartanah dan pembinaan WCT Holdings Bhd, akan menggunakan anak syarikatnya, Subang Skypark Sdn Bhd (SSSB) untuk mengambilalih dan mengendalikan lapangan terbang itu sehingga 2092.

Bagaimanapun dilaporkan, pihak berkepentingan utama yang berkaitan dengan kerajaan menentang tindakan itu, dengan menyatakan akan mengalami kerugian dianggarkan hingga RM11.9 bilion.