Malaysia Dateline

LTTE: Kerajaan didesak failkan semula pertuduhan Adun DAP

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim mendesak agar kerajaan memfailkan semula pertuduhan terhadap kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang ditarik balik tanpa memberi sebarang penjelasan.

Beliau berkata, Jabatan Peguam Negara yang mengumumkan penarikan semula dua pertuduhan memiliki item LTTE terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seremban Jaya, P Gunasekaran tidak seharusnya berlaku.

Ahmad Amzad Hashim
Ahmad Amzad Hashim

“Saya percaya bahawa kes yang berkaitan keganasan lebih-lebih lagi di bawah Akta Keselamatan, Langkah-langkah Khas 2012 (Sosma) tidak akan dibawa ke mahkamah melainkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengemukakan bukti-bukti yang kukuh.

“Sekalipun jika pertuduhan ini ditarik balik kerana masalah-masalah teknikal, rakyat mahukan agar Jabatan Peguam Negara menyelesaikan masalah-masalah itu dengan segera dan failkan kembali pertuduhan yang sama ke atas Adun tersebut.

“Masalah keganasan bukan masalah yang boleh dipandang enteng kerana ia menjejaskan keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tindakan Jabatan Peguam Negara yang menarik balik pertuduhan tanpa memberikan sebarang sebab menunjukkan Peguam Negara PH lebih teruk daripada Peguam Negara semasa pentadbiran Barisan Nasional.

Ini kerana katanya, PH yang melaungkan prinsip ketelusan tidak boleh menggunakan kuasa pregoratif Peguam Negara sewenang-wenangnya seperti yang pernah diamalkan pada zaman BN.

“Tindakan ini secara terbuka menunjukkan wujudnya campur tangan politik dan pilih kasih jika dibandingkan dengan pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan kepada tahanan lain di bawah Sosma.

“Penarikan pertuduhan tanpa sebab dalam kes LTTE yang membabitkan Adun DAP ini hanya mengesahkan reputasi buruk Peguam Negara yang sudah banyak kali menyemak dan menggugurkan pertuduhan yang dibuat ke atas ahli politik daripada PH,” katanya.