LTTE: Pas sedia disiasat jika ahli terlibat

LTTE: Pas sedia disiasat jika ahli terlibat

Pas bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya ada ahli parti itu terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Naib Presidennya, merangkap Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata Pas sentiasa terbuka untuk sebarang siasatan lebih-lebih lagi melibatkan isu keselamatan dan memberi ancaman kepada negara.

“Sebarang isu yang melibatkan keselamatan, sesiapa sahaja daripada mana-mana parti pasti akan berhadapan dengan siasatan kerana ia melangkaui aspek politik.

“Jadi kita serah kepada pihak polis untuk lakukan siasatan pada mereka yang disyaki,” katanya kepada pemberita selepas Kongres Biasa Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), di sini, hari ini.

Sebuah portal hari ini melaporkan bahawa salah seorang daripada 12 suspek yang ditahan minggu lalu kerana disyaki memberi sokongan kepada LTTE, adalah ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan oleh Ketua DHPP, N Balasubramaniam dalam satu kenyataan media yang menjelaskan bahawa individu berkenaan ada memohon untuk menyertai DHPP beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 tetapi telah menghantar surat keluar parti pada 21 Mei 2018.– BERNAMA