Malaysia Dateline

LTTE: ‘Pendapat saya untuk tarik semula gelaran teroris bukan satu arahan’

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, cadangannya kepada Menteri Dalam Negeri ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) agar kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) tidak lagi dilabel sebagai teroris bukanlah satu arahan.

Sebaliknya beliau berkata, itu hanyalah pendapatnya memandangkan kerajaan Sri Lanka yang pernah bertembung dengan LTTE juga tidak lagi melabel kumpulan dan pengikut badan tersebut sebagai teroris.

Jelas bekas Perdana Menteri itu, jika label teroris digunakan terhadap kumpulan terbabit, maka mereka tidak boleh diikat jamin sementara menunggu perbicaraan.

“Saya juga telah dimaklumkan oleh Peguam Negara waktu itu bahawa tiada bukti kukuh untuk mendakwa penyokong LTTE di bawah undang-undang teroris yang tidak boleh diikat jamin semasa menunggu perbicaraan.

“Saya memberi pendapat saya kepada Menteri yang bertanggungjawab berkenaan perkara ini. Pendapat saya bukan suatu arahan.

“Langkah ini konsisten dengan pendirian kita sebelum pilihan raya 2018 bahawa kita menentang penggunaan beberapa peruntukan undang-undang yang telah disalah guna oleh Barisan Nasional (BN) untuk menahan mereka yang menentang kecurian yang mereka lakukan menerusi 1MDB dan juga salah guna kuasa,” katanya.

Pada masa sama, Mahathir melalui hantaran blognya yang terbaharu hari ini turut menyifatkan bahawa ianya adalah satu ketidakadilan yang melampau kerana undang-undang sebelum ini menyebabkan penyokong LTTE telah ditahan tanpa dibicarakan dan tidak dibenar ikat jamin.

Beliau berkata demikian merujuk kepada surat bertarikh 12 Februari lalu yang ditulisnya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu.

Pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, beliau sama sekali tidak mengetahui tujuan surat berkenaan ditularkan yang menurutnya disebar hanya untuk memperlihatkan seolah-olah beliau adalah penyokong LTTE.

Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu lagi, kerajaan dan Peguam Negara pada hari ini harus memulakan proses perundangan yang sewajarnya jika terdapat bukti yang kukuh untuk mendakwa LTTE.

“Saya berharap tidak berlaku kezaliman apabila menegakkan keadilan dan melaksanakan undang-undang,” kata Mahathir lagi.