Malaysia Dateline

LTTE: Tommy Thomas wajar nilai semula tindakannya

Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) berpendapat Peguam Negara Tommy Thomas yang telah menamatkan prosiding jenayah terhadap 12 individu yang dikaitkan dengan kegiatan dan juga fahaman badan terorisme LTTE dari Sri Lanka dengan melakukannya (pengguguran pertuduhan) mengikut kuasa budi bicaranya sendiri.

Dalam satu kenyataan Exco ARMADA MOHD Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, peguam negara perlu menilai kembali tindakan beliau terhadap 12 individu terbabit.

Beliau berkata, kegiatan terorisme sama ada dari aspek semangat atau fahaman adalah satu tingkah perlakuan yang kompleks, apatah lagi jelas semangat yang ditonjolkan tidak mencerminkan nilai dalam konteks rukun dalam negara ini.

Tambahan pula katanya, ‘kiblat’ yang digagaskan adalah sebuah acuan bahaya yang mampu memangkin tindak-tanduk yang mengundang kemudaratan sesebuah negara dan rakyatnya.

“Maka seharusnya sesuatu itu berteraskan apa yang telah digarap segenap hasrat dari teras perlembagaan, undang-undang dan Rukun Negara.

“Biro Pendidikan ARMADA sebagai salah satu petunjang ARMADA Bersatu yang berperanan memangkin semangat Nasionalisme melalui teras Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan dalam pada martabat Undang-Undang Negara, menzahirkan kerisauan tindakan Peguam Negara yang menggugurkan pendakwaan ini apabila mengkhususkan kepada kedudukan LTTE di Sri Lanka dan European Union (EU) semata melalui keterangan beliau sekaligus seakan membelakangkan Undang-Undang Negara,” katanya.

Dalam hal ini katanya, seakannya telah berlaku pertembungan peranan kuasa dan pelanggaran undang-undang apabila pihak Peguam Negara telah melanggar ketetapan di mana seharusnya atas kedudukan Tommy yang perlu menasihatkan dahulu pihak Menteri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana LTTE masih berada dalam ‘jadual’ senarai aktiviti badan terorisme.

“untuk memberi takrifan jelas seakan contoh beliau yang menjustifikasikan tindakannya atas pengkhususan kepada kedudukan LTTE di Sri Lanka dan European Union (EU) Jelas tindakan ini bertentangan dan membelakangkan undang-undang melalui justifikasi beliau ditambah secara nyata menjalankan tugas Menteri KDN.” ujarnya.

Terdahulu Tommy dilaporkan berkata, menjadi perkara lazim untuk seseorang individu mengagungkan mana-mana personaliti termasuk personaliti sejarah dan ahli politik dan itu merupakan tema umum untuk semua 12 individu yang dituduh berkaitan LTTE.

“Setiap seorang daripada mereka mempunyai di dalam telefon bimbit atau akaun Facebook mereka gambar pengasas LTTE, Velupillai Prabhakaran dan pemimpin-pemimpin lain LTTE yang terbunuh semasa perang saudara di Sri Lanka.

“Sekiranya perbuatan sedemikian boleh terjumlah sebagai satu kesalahan jenayah, ia akan meletakkan undang-undang ke tempat yang tidak dihormati,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.”

Bagi ARMADA kenyataan ini adalah kenyataan yang tidak berasas dan bertentangan atas nasib tangkapan lain yang pernah ditahan kerana dikatakan menyokong Daesh ataupun IS.

Tegas beliau, Tommy perlu lebih berhati-hati atas segenap dakyah yang mampu merosakkan keharmonian negara dan menggugat keselamatan Malaysia ini sebagai negara berdaulat.

“Sekiranya Peguam Negara itu sendiri membelakangkan undang-undang dan seakannya tidak mampu memaknai nilai keadilan, pada hemat saya sendiri selaku salah seorang Exco ARMADA merasakan beliau wajar meletakkan jawatan,” tambah beliau.