Malaysia Dateline

LTTE: Ummah mahu DAP diharamkan

Gerakan Pembela Ummah (Ummah) mendesak agar Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (Ros) mengharamkan parti DAP sekiranya terdapat bukti transaksi kewangan melibatkan parti itu untuk menggerakkan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di negara ini.

Timbalan Pengerusi Ummah, Mohd Zain Mustafa berkata, ini kerana DAP yang membawa imej sebagai komponen Pakatan Harapan (PH) tidak seharusnya terlibat dengan aktiviti yang boleh merosakkan integriti yang dibina kerajaan.

“Sekiranya gerakan LTTE melibatkan akaun berkaitan parti DAP, kita minta parti DAP diambil tindakan oleh ROS untuk diharamkan.

“Kita juga menggesa pihak Bank Negara Malaysia (BNM) untuk lihat adakah transaksi ini melibatkan duit-duit haram. Kita minta agar akaun DAP ini disiasat sehingga ke akar umbi.

“Kita lihat bahawa dua Adun yang terlibat dengan kes ini perlu melepaskan jawatan mereka.

“Ketua Menteri Melaka mesti menggantung tugas Adun tersebut dan juga jawatankuasa yang berada dalam kerajaan negeri mereka kerana melibatkan integriti kerajaan dan maruah rakyat,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau turut berkata, Ummah menyokong kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan berpuas hati dengan tindakan pihak polis atas penahanan individu yang disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas tersebut.

Sementara itu, Naib Pengerusinya, Masridzi Sat menggesa kerajaan untuk bertindak tegas mengenai soal keselamatan negara dengan menyokong penuh tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tanpa prejudis.

“Kita faham ada kenyataan-kenyataan pemimpin yang berbolak balik mungkin kerana simpati kerana rakan-rakan politik mereka ditangkap atau didakwa.

“Sebagaimana pihak polis sebelum ini bertindak tegas terhadap radikal pelampau Islam seperti Isis, sekarang terbukti bahawa dalam kerajaan terdapat tradikal pelampau tersebut.

“Jadi kita sebagai majoriti umat Islam dalam negara ini mahu kerajaan berlaku adil tanpa istilah payung atau cuba untuk melindungi mereka,” jelasnya.