Malaysia Dateline

Lubnan minta Rusia hapuskan halangan terhadap kerjasama ekonomi

Kerajaan Rusia diminta untuk menghapuskan semua halangan yang menyekat kerjasama ekonomi antara Lubnan-Rusia, lapor agensi berita Xinhua.

Pengerusi bersama Majlis Perniagaan Lubnan-Rusia, Jacques Sarraf berkata demikian pada  forum kelima Lubnan-Rusia yang diadakan bertujuan membincangkan kaedah untuk meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara.

Sarraf berkata, sudah tiba masanya negara itu meningkatkan hubungan ekonomi dengan Rusia dan mengenepikan konflik antara Rusia dengan Amerika Syarikat.

Tambahnya, import Lubnan dari Rusia bernilai US$570 juta pada 2018 berbanding nilai eksport hanya sebanyak US$5 juta.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Perniagaan Lubnan-Rusia, Alexander Gogolev berkata terdapat banyak peluang kerjasama antara kedua-dua negara dalam beberapa bidang termasuk industri tenaga, minyak dan gas.

Awal tahun ini Lubnan telah memeterai perjanjian dengan syarikat minyak Rusia terbesar, Rosneft, untuk meningkatkan dan mengendalikan penyimpanan di utara bandar Tripoli, manakala Novatek Rusia akan meneroka pengeluaran minyak dan gas luar pesisir.

— BERNAMA