Lufya tuntut mutaah RM1 juta daripada bekas suami selepas bercerai

Oleh KIM SYAZIE

Pelakon dan juga penyanyi, Lufya Omar membuat tuntutan mutaah sebanyak RM1 juta terhadap bekas suami di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Lufya yang ditemani ibunya bagaimanapun enggan ditemubual media selepas selesai proses.

Bekas suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz, 33, turut hadir di mahkamah bersama peguam syarie, Abdul Hadi Mohamad Salleh dan ditemani isteri, Julia Farhana Marin.

Sementara itu, Abdul Hadi memberitahu, pengurusan kes tersebut adalah selepas Lufya memfailkan tuntutan berkenaan kepada pihak mahkamah pada Oktober tahun lalu.

“Selepas tuntutan berkenaan, Lufya dan Che Muhammad Hafiz melalui proses Sulh, namun proses itu tidak tercapai.

“Jadi, hari ini adalah proses pengurusan kes dan kami sedang menunggu tarikh daripada pihak mahkamah untuk sebutan kes seterusnya,” ujarnya.

Menurut Kosmo! Online, Che Muhammad Hafiz ketika ditemui berkata, beliau agak terkejut dengan amaun tuntutan Mutaah yang dituntut Lufya namun menghormati tuntutan tersebut.

Tambahan juga, beliau menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan jumlah tuntutan yang perlu diberikan kepada Lufya.

Baca juga: Ryan Tedder jejakkan kaki di Indonesia, vokalis One Republic itu akui dirinya insaf