Malaysia Dateline

Lukisan mural Pas ‘suntik racun’, hina Hadi Awang dipadam

Lakaran picagari berlambangkan Pas ini juga dipadam sempena himpunan penyatuan Umno-Pas.

 

Wanita Umno dan Muslimat Pas bersama lukisan mural yang memadam imej negatif Pas.

Program himpunan dan kemuncak penyatuan rasmi Umno-Pas di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini menyaksikan lukisan mural yang negatif berkenaan Pas telah dipadam.

Tinjauan Malaysia Dateline mendapati imej menyerupai Mursyidul Am, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ‘hilang’ diganti dengan lakaran dahan pokok.

Lakaran mirip kedua-dua tokoh pemimpin Pas itu telah dipadam dengan ‘merimbunkan’ lagi lukisan pohon yang sudah sedia ada berserta imej individu menjerut lehernya di dahan.

Sebelum ini, ‘Abdul Hadi’ dalam lukisan mural itu memegang kain rentang tertera, “Peristiwa Sauk sandiwara Umno’ merujuk kepada kes rompakan bersenjata di Kem 304 Askar Wataniah di Gerik, Perak pada 2 Julai 2000.

Tragedi Sauk mengundang reaksi pemimpin Pas ketika itu yang menuduh Umno dalam kerajaan Pusat ‘bermain sandiwara’ susulan terbongkar majoriti anggota Al-Maunah adalah pengikut Pas.

Turut dipadam lukisan dua jarum suntikan dengan lambang Pas yang dilihat simbolik parti itu sebagai penghasut dalam isu Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan gerakan mahasiswa di universiti awam.

Sebaliknya, lakaran seorang individu yang memegang parang panjang dipercayai berkaitan tragedi Memali di Baling, Kedah pada tahun 1985 masih kekal.

Imej lelaki berjubah dan berserban itu yang dilatari bendera Kelantan dan Terengganu ‘disinari’ cahaya hijau dari bulan juga memang sudah sedia ada terdapat di situ.

Selain itu, lukisan sekumpulan lelaki yang hanya berseluar panjang sedang ditahan anggota keselamatan ekoran Tragedi Sauk juga tidak dipadam.

Pada masa sama, lukisan tentang himpunan Bersih 3.0 pada 28 April 2012 dengan gambaran imej berserta imej kereta peronda polis terbalik berserta bendera meyerupai PKR juga ditambah pada dinding pameran itu.

Malaysia Dateline mendapati beberapa ahli Pas yang melihat lukisan itu meluahkan rasa tidak puas hati dengan paparan berkaitan tragedi Memali dan Al-Ma’unah tersebut.

Antara penyokong Pas yang dilihat tidak berpuas hati hari ini dengan lukisan walaupun sudah diubahsuai.

 

Gambaran ganas himpunan Bersih 3.0 dengan kereta polis terbalik dan bendera PKR berkibar turut ditambah.